Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasssin mengucapkan tahniah kepada penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri yang mempamerkan aksi terbaiknya dalam pusingan akhir acara 3 meter (m) papan anjal individu Olimpik Tokyo 2020 kelmarin.
Muhyiddin berkata, aksi dan tentangan yang dipamerkan Dhabitah dalam final itu adalah amat mengagumkan.
“Biar pun tanpa pingat, kelibat dan aksi anak muda berusia 22 tahun ini nyata menghiburkan bersama semangat yang tidak mudah mengalah.
“Layak ke final dan berada di tempat keempat daripada 12 peserta dalam temasya sukan tersohor, Olimpik Tokyo 2020 juga adalah satu kejayaan yang perlu anda banggakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam ini.
Beliau berkata, jangan sedih. Perjalanan anda masih jauh.
“Masih banyak kejayaan yang boleh dilakar termasuk pada edisi Olimpik akan datang.
“Senyumlah Nur Dhabitah,” katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan tangisan penerjun muda negara, Dhabitah sebaik tamat dalam pusingan akhir acara 3 m papan anjal individu, hari ini sudah cukup menggambarkan keperitan dan cabaran yang dilaluinya hingga mampu mencatatkan keputusan terbaik di Olimpik, Tokyo.
Dhabitah dilaporkan berkata, dia menangis bukan kerana gagal membawa pulang pingat namun lebih mengenangkan kesusahan yang dilalui apabila terpaksa berkorban demi memastikan kehadirannya di pentas Olimpik berbaloi.
Sumber: My Metro