Inilah kisah pendidik bangsa,
Sedia berbakti tak kira masa,
Menabur ilmu menabur jasa,
Menjadi penyuluh setiap masa.
Inilah kisah kerjaya mulia,
Mendidik mengajar selagi terdaya,
Ibarat lilin memberi cahaya,
Bukan balasan harta memintanya.
Guru itu sanggup berbakti,
Membentuk insan mulia pekerti,
Kejayaan murid sangat bererti,
Jasa dikenang sampai ke mati.
Dengarlah anak guru berpesan,
Hidup ini punya batasan,
Jangan diikut sembarangan insan,
Takut kelak meninggalkan kesan.
Jika ada murid yang nakal,
Guru yang bijak mengguna akal,
Kuatkan azam hati pun cekal,
Didikan yang baik perlu dibekal.
Di mana sahaja sedia berkhidmat,
Tutur katanya sentiasa cermat,
Tingkah laku selalu berhemat,
Jadi ikutan pasti selamat.
Demikian sudah resamnya guru,
Yakin terpuji tiada terburu,
Sedia berbakti segenap penjuru,
Pembimbing masyarakat ke alaf baru.