KUALA LUMPUR – Seorang lagi pemain dalam pasukan bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara disahkan positif COVID-19 menjelang Kejohanan AFF B-23 di Phnom Penh, Kemboja.
Ketua jurulatih Brad Maloney berkata pemain itu didapati positif selepas menjalani ujian Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) dan ujian Tindak Balas Rantai Polimerase (PCR) sebaik sahaja mereka tiba di Phnom Penh, semalam.
“Dia dibawa ke kemudahan perubatan (untuk diasingkan) dan dia akan berada di sana buat masa ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media maya hari ini.
Rabu lepas pemain pertahanan Terengganu FC, Muhammad Safwan Mazlan digugurkan daripada pasukan selepas disahkan positif COVID-19.
Sementara itu Maloney berkata para pemain dilihat kekal bersemangat tinggi, dan beliau berharap pasukan negara dapat mempamerkan perlawanan yang kompetitif dalam aksi pembukaan Kumpulan B menentang Myanmar pada Selasa (15 Feb), sebelum berdepan dengan Laos pada Jumaat (18 Feb).
“Kami akan meninjau perlawanan pertama dan belajar sebanyak yang boleh, tanpa mengira setakat mana saingan sengit yang ditampilkan mereka,” katanya sambil menambah Malaysia mempunyai kelebihan untuk menempah tiket keperlawanan separuh akhir berikutan penarikan diri juara bertahan, Indonesia.
Ditanya mengenai pemilihan kapten, Maloney berkata beliau belum memutuskan siapa yang akan dijadikan kapten.
Sumber: BERNAMA