Seorang Lemas, Dua Selamat Bot Pancung Terbalik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MACHANG – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot pancung yang dinaiki bersama bapa saudara dan rakannya, terbalik di Sungai Kelantan berhampiran Pangkalan Pasir Hj Pa di Paloh Rawa, di sini, tengah malam tadi.

Mangsa, Muhammad Hisyamuddin Che Zulkifly, 23, sehingga kini belum ditemui, manakala dua lagi yang menaiki bot sama, Muhamad Riduan Hatta, 23, dan Mohd Subry Che Ahmad, 39, terselamat.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata mangsa bersama bapa saudara dan rakannya turun ke sungai berkenaan pada jam 5 petang semalam, untuk memasang pukat di kawasan Pasir Sena, Kusial.

Katanya, pada jam 8.45 malam tadi, ketika dalam perjalanan pulang ke Pangkalan Pasir Haji Pa, bot yang dinaiki mereka terbalik berhampiran Pangkalan Pasir Hendry akibat terlanggar tali sauh feri pasir.

“Dua daripada mereka sempat berpaut pada tali sauh feri pasir sebelum berenang ke tepi sungai. Bagaimanapun kelibat mangsa tidak kelihatan sebaik tiba di tebing.

“Dua mangsa yang berjaya naik ke darat kemudian mengambil sebuah bot lain dan turun semula ke sungai untuk mencari mangsa dengan menyusuri sungai hingga ke Kampung Kelaweh tetapi gagal menemui mangsa,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Adli berkata, seramai 12 anggota pasukan keselamatan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, disebabkan keadaan arus sungai yang deras dan keadaan gelap tindakan operasi mencari dan mengesan mangsa dimulakan pada jam 8 pagi tadi,” katanya.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pagi tadi disertai 51 anggota membabitkan PDRM, JBPM, APM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan turut dibantu oleh sukarelawan.

“Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari JBPM melakukan selaman di sekitar kawasan bot berkenaan terbalik iaitu dalam lingkungan 100 meter manakala pasukan mencari di permukaan pula membabitkan PDRM, APM, JBPM serta penduduk setempat dalam lingkungan jarak dua kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN