Seorang Maut, Tujuh Cedera Dalam Kemalangan Babitkan Dua Kereta Di Pekan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Seorang maut manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kereta di KM 37 Jalan Kuantan-Segamat, semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata kemalangan pada kira-kira pukul 8.15 malam itu mengakibatkan Nur Ezyyantie Aliakbar, 30, yang merupakan Penolong Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Temai, Pekan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata kemalangan berlaku apabila sebuah Honda HR-V dinaiki empat sekeluarga dari Kuantan menuju ke Port Dickson, Negeri Sembilan, berlanggar dengan kereta Myvi dinaiki arwah bersama suami dan dua anaknya, yang dalam perjalanan dari arah Segamat ke Kuantan.

“Siasatan awal mendapati ketika di tempat kejadian, HR-V berkenaan dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar Myvi terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata suami Nur Ezyyantie dan dua anak perempuannya mengalami kecederaan parah, dan kesemua mereka, termasuk empat sekeluarga yang menaiki HRV yang tercedera dalam kejadian, kini dirawat Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA