Penubuhan pasukan khas oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk memantau isu kepentingan tanah rizab Melayu di seluruh negara adalah perkembangan mengujakan.
Bukan setakat itu sahaja, pasukan Jaringan Bertindak Tanah Melayu akan ditubuhkan di setiap negeri bagi maksud kesepakatan di seluruh negara.
Strategi MAPIM itu kena pada masanya. Ketika menghadapi pelbagai cabaran, ada dalam kalangan orang Melayu prihatin dan berani mengambil tindakan demi menjaga kebaikan dan harta mereka di tanah air sendiri.
Sebenarnya, pasukan MAPIM tidak sendirian dalam memperjuang dan menyelamatkan tanah rizab Melayu. Kita ada Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang sudah lama berjuang untuk memartabatkan perkara ini.
Tidak ketinggalan, Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) yang banyak melihat dan mengangkat isu kehilangan tanah rizab Melayu di negara ini.
Begitu juga dengan Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) yang mengambil tindakan secara profesional demi memartabat dan menjaga tanah rizab Melayu di seluruh pelosok negara. Terdapat juga beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang aktif memperjuangkan perkara ini.
Hakikatnya, orang Melayu sudah muak dan mual dengan telatah ahli politik yang tidak pernah sunyi dengan polemik. Sudahlah berlaku perpecahan ketara dalam landskap politik kaum Melayu, ditambah pula kemelesetan ekonomi melanda negara.
Kini, sebahagiannya menghadapi saat getir apabila rumah dihanyutkan air lumpur dan hutang-piutang keliling pinggang. Tiada koordinasi jelas dan ampuh untuk menjamin masa hadapan anak cucu mereka tentu merisaukan.
Justeru, orang Melayu celik dan mengambil tindakan segera demi masa hadapan anak cucu mereka. Lantaran itu, ada beranggapan tahun mendatang begitu kelam dan suram bagi negara. Maka, apakah langkah terbaik untuk mengukir masa hadapan lebih gemilang?
Sesungguhnya ia bukan sekadar celik dan sedar terhadap apa yang sedang berlaku di depan mata, malah orang Melayu perlu mengambil strategi ampuh dan tindakan paling berkesan dengan segera.
Bukan sekadar membentuk pasukan dan menubuhkan jaringan menjaga tanah rizab Melayu semata-mata, sebaliknya strategi serta sinergi berkenaan perlu mantap dengan ilmu pengetahuan mengenai tanah dan data serta maklumat lengkap.
Dalam sebarang peperangan, taktik tanpa senjata ampuh dan strategi utuh hanya tindakan membunuh diri semata-mata.
Justeru, kesatuan semua pertubuhan yang mempunyai tujuan sama adalah satu kemestian. Harus diakui memang sukar untuk mencapai satu titik persefahaman.
Dalam hal ini, sinergi perkara yang penting. Kerajaan pula perlu menyantuni dan menyambut seruan untuk memajukan tanah rizab Melayu dengan sikap terbuka.
Dalam soal ini, perbincangan positif antara MPM dengan PERTAMA bersama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) tidak lama dahulu memberi pencerahan baik. Perbincangan harmoni itu, membuahkan banyak tindakan ampuh dengan strategi utuh untuk memperkasa tanah rizab Melayu di negara ini.
Hasilnya, kerajaan mengisytiharkan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 mengambil kira usaha memperkasa tanah rizab Melayu dan tanah wakaf.
Antara perancangannya termasuk cadangan menubuhkan Unit Data Tanah Rizab Melayu, badan amanah untuk membeli tanah terbiar untuk dimajukan, pembiayaan dan pendanaan bagi memajukan tanah rizab Melayu serta mengharmonikan perundangan berkaitan.
Cadangan dikemukakan PERTAMA bagi memajukan tanah rizab Melayu adalah kerajaan melalui TERAJU di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan sokongan Majlis Tanah Negara menubuhkan Jawatankuasa Khas Tanah Rizab Melayu dianggotai wakil kerajaan negeri dan pakar tanah dalam dan luar negara.
Seterusnya membentuk Pelan Induk Tanah Rizab Melayu yang mengambil kira semua isu berkaitan dan pelbagai cara penyelesaian terbaik.
Begitu juga pemuafakatan antara PERTAMA dengan PEMBELA yang mengadakan persidangan khas mengenai jalan terbaik untuk menjaga dan memartabatkan tanah rizab Melayu serta wakaf di negara ini begitu menguja semua pihak.
Koordinasi begini memperkasa usaha ke arah memajukan tanah rizab dan pegangan Melayu di seluruh negara. Sesungguhnya, kesatuan fikiran memantapkan peranan, strategi dan tindakan diambil.
Tepat seperti dikatakan penyelidik hartanah di Universiti Newcastle, England, Prof Patsy Healey, menghuraikan struktur seperti polisi, undang-undang dan sumber daya digabung jalin dengan agensi, iaitu peranan, motif, strategi serta tindakan akan menghasilkan aktiviti mendorong dan melorongkan ke arah memajukan tanah sedia ada.
Kajian yang beliau jalankan di Venezuela membuktikan bagaimana hasil petroleum memajukan tanah di sana dengan begitu rancak sekali. Tanpa kesatuan struktur dan agensi, pembangunan hartanah terencat serta menghadapi banyak cabaran dan halangan.
Menurut pendekatan moden hari ini, pengurusan bukan lagi sekadar arahan semata-mata, sebaliknya koordinasi dan penyelarasan mengharmonikan. Apabila NGO bersatu untuk mencapai matlamat sama memelihara, memaju dan mengurus tanah rizab Melayu di seluruh negara, kerajaan juga menghulur tangan memberi bantuan diperlukan.
Seterusnya, kejayaan berkenaan dapat diguna untuk memajukan tanah lain seperti tanah adat, wakaf dan tanah natif, sekali gus menjadikan cara serta gaya pembangunannya tanah berkenaan boleh dijadikan contoh untuk memajukan tanah yang mempunyai halangan serupa pula di luar negara.
Sumber: Berita Harian