Tumpat: Bagai dilanggar garuda. Itulah perumpamaan bagi menggambarkan situasi di Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor ketika ini.
Pintu utama masuk ke destinasi membeli-belah yang sudah bertapak sejak 32 tahun itu sudah ditutup serta dikunci menunjukkan sudah tiada urus niaga berlaku.
Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor, Halim Husin berkata, destinasi membeli-belah yang sedia suram sejak tahun lalu itu sudah ditutup terus bermula sekatan pergerakan penuh (SPP) pada 4 Jun lalu.
“Walaupun ada peniaga makanan dan kedai makan yang dibenarkan beroperasi di dalam kawasan ini, ia tidak berbaloi kerana sudah tiada pengunjung, lebih-lebih lagi apabila pelaksanaan SPP ini yang tidak membenarkan pergerakan melebihi 10 kilometer (km).
“Sejak tahun lalu lagi urus niaga sudah terkesan dan sepanjang setahun ini keadaan hampir 200 peniaga dalam kawasan ini terumbang-ambing ditambah lagi pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terbaru SPP,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Halim berkata, disebabkan keadaan semakin teruk, hampir separuh daripada peniaga sudah gulung tikar manakala selebihnya masih bertahan dengan cuba berjinak-jinak berniaga dalam talian walaupun terdapat persaingan besar menerusi platform itu.
Menurutnya, permohonan pengecualian sewaan lot kedai daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemilik bangunan persendirian akan dibuat dalam kadar segera memandangkan SPP disambung, ditambah keadaan peniaga semakin meruncing dan boleh dikatakan langsung tiada pendapatan.
“Dengan PBT, kadar sewa adalah antara RM200 hingga RM300 sebulan manakala persendirian pula mencecah RM1,000 sebulan dan jika keadaan ini berterusan, sudah pasti lebih ramai peniaga akan putus asa dan gulung tikar,” katanya yang turut menjalankan perniagaan perkakas dapur dan tilam nipis (toto).
Peniaga, Nor Azimah Che Ibrahim, 37, berkata, sejak awal PKP tahun lalu lagi dia sudah mengambil pendekatan menjalankan urus niaga dalam talian walau hasilnya tidak selumayan berniaga secara langsung.
“Pada awalnya memang saya ‘merangkak’ menggunakan gajet untuk berniaga, tapi platform itulah penyelamat walaupun untung tidak sebanyak jika berniaga di kedai.
“Zon bebas cukai ini semakin tidak bernyawa dan dua tiga hari sekali saya akan jenguk masuk ke kedai memeriksa barangan sambil mengambil barangan yang ditempah pelanggan melalui jualan dalam talian,” katanya yang mengambil alih perusahaan perniagaan barangan dapur daripada ibunya sejak 30 tahun lalu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat berkata, kawasan zon bebas cukai itu hanya ditutup sempena SPP saja memandangkan tiada langsung pengunjung dan peniaga mengambil pendekatan menjalankan urus niaga dalam talian.
“Sejak pelaksanaan SPP baru-baru ini, operasi perniagaan dalam kawasan itu ditutup kerana peniaga tiada ‘mood’ untuk berniaga memandangkan pengunjung rata-ratanya terdiri daripada orang luar yang tidak boleh melakukan pergerakan lebih daripada 10km dan rentas daerah atau negeri.
“Sebaik tamat PKP dan SPP nanti, kawasan zon bebas cukai itu akan dibuka semula dan kita harapkan urus niaga dapat kembali berjalan lancar,” katanya.
Sumber: My Metro