Sepuluh Lagi Masjid Terima Jam Informasi Digital

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TEMERLOH: Sebanyak sepuluh buah masjid lagi di negeri ini menerima jam informasi digital melibatkan peruntukan bernilai hampir RM50,000 daripada Kerajaan Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pemasangan jam itu adalah bagi siri kedua di masjid yang dicadangkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) selepas sepuluh buah masjid kariah terpilih pada tahun lalu.

“Pemasangan siri kedua ini melibatkan Masjid Bukit Keledang, Bera; Masjid Assyakirin Rumpun Makmur, Masjid Kampung Kerai dan Masjid Kampung Dato’ Syariff Ahmad di Temerloh, Masjid Kampung Baru, Bentong; Masjid Kampung Budu di Benta, Lipis; Masjid Kampung Keledek dan Masjid Kampung Gua di Kuala Lipis; Masjid Kampung Guai, Bera serta Masjid Kampung Janglau, Rompin.

“Pemasangan telah dimulakan di Masjid Kampung Gua Lipis dan Kampung Dato Sarif Ahmad Kuala Krau sebelum diteruskan ke masjid-masijd lain,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata jam informasi digital adalah gabungan antara jam solat TV dan audio visual dengan kelengkapan dan perisian ‘digital signage’ yang mempunyai kelebihan untuk membantu membangunkan kemudahan di dalam masjid dan pusat Islam secara informasi dan interaktif digital, selaras dengan perkembangan teknologi multimedia masa kini.

“Ia berfungsi sebagai ejen penyampaian digital bagi setiap informasi kegiatan di masjid mahupun kampung atau taman perumahan selain menjadi daya penarik sejajar dengan perkembangan dan tuntutan semasa serta diharapkan dapat meningkatkan jumlah kehadiran masyarakat ke masjid.

“Perkongsian data terkini dan semasa boleh dilakukan berdasarkan data atas talian atau perolehan edaran semasa selain memaparkan data penting berkaitan kampung atau taman perumahan, daerah, negeri, negara dan antarabangsa.

Menurutnya, penyataan waktu jam berkenaan adalah bersumberkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi portal www.e-solat.gov.my, manakala pengemaskinian waktu solat boleh dilakukan secara dalam atau luar talian dengan mudah.

“Data waktu solat adalah untuk sepanjang tahun selain penyediaan lain-lain informasi digital seperti aktiviti, jadual kuliah dan tugasan pemakluman, hebahan, paparan nasihat (ayat Al-Quran dan Hadis) serta paparan interaktif yang unik,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA