Seramai 1,365 Pesawah Kelantan Mengalami Kerugian Lebih RM26 Juta Akibat Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Seramai 1,365 pesawah yang mengusahakan tanaman padi di Kelantan telah mengalami kerugian mencecah RM26.19 juta akibat banjir melanda pada Februari lepas.

Menurut Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Datuk Kamarudin Md Nor, kerugian tersebut telah mengalami kerosakan tanaman padi seluas 4,500 hektar dan antara kawasan yang terjejas teruk ialah di jajahan Tumpat, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Bachok.

“Ramai pesawah terkesan dengan banjir baru-baru ini memandangkan ketika itu padi yang diusahakan sedang membesar dan ada juga yang telah mengeluarkan hasil namun tidak sempat dituai sehingga menyebabkan kerugian yang besar.”

“Kita telah maklumkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk membantu pesawah yang terkesan, namun disebabkan kerugian melibatkan nilai besar, pihak kementerian sedang berusaha untuk memohon bantuan dari Kementerian Kewangan dan kita sedang menunggu keputusan itu,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, bagi meningkatkan pengeluaran padi, KADA bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membangunkan 100 hektar kawasan tanah terbiar di jajahan Tumpat dan Pasir Mas.

Tambahan beliau, usaha itu antara langkah KADA bagi meningkatkan pengeluaran tanaman padi yang semakin berkurangan susulan kawasan KADA semakin mengecil akibat punca pembangunan yang kini hanya berbaki 26,000 hektar berbanding pada awalnya seluas 40,000 hektar.

Sumber: BERNAMA