BESUT – Tiga lelaki menyerang seorang jiran baharunya secara melulu dipercayai akibat salah faham terhadap mangsa tersebut dalam kejadian di Kampung Padang Luas, Jerteh, di sini, pada Sabtu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 petang semasa lelaki berusia 58 tahun tersebut sedang memantau kerja-kerja pembinaan rumahnya sebelum didatangi oleh tiga individu itu yang kemudian terus menyerang mangsa.
Menurut sumber, salah seorang daripada mereka kemudian memukul bahu lelaki tersebut yang merupakan seorang penjawat awam.
“Risau mengenai keselamatan dirinya, mangsa melarikan diri masuk ke dalam rumah tetapi mereka mengejarnya lalu tercetus pergaduhan yang kemudian dileraikan oleh anak mangsa dengan bantuan beberapa orang kampung yang kebetulan melalui kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Kata sumber itu lagi, selepas situasi kembali tenang, salah seorang daripada mereka memberitahu mangsa mengenai punca salah faham tersebut iaitu berkaitan rumah dan tanaman milik suspek.
“Mangsa hanya bercadang mengambil sedikit pasir untuk dijadikan sebagai benteng rumah bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku terutama pada musim hujan. Namun mereka mendapat maklumat konon mangsa berhasrat menyodok pokok dan kediaman milik suspek,” kata sumber itu.
Tambahnya, bimbang terhadap keselamatan diri dan ahli keluarga pada masa akan datang, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.
Sumber: Sinar Harian