Kuala Terengganu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu memasang dua perangkap untuk menangkap harimau dipercayai berkeliaran di sekitar ladang sawit Kampung Teladas dekat Air Putih di Kemaman, petang semalam.
Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, ia susulan laporan daripada penternak lembu di kampung tersebut yang mendakwa berlaku serangan haiwan itu sejak Disember tahun lalu hingga menyebabkan kematian haiwan ternakan mereka.
“Satu perjumpaan bersama Perhilitan, penternak haiwan, penduduk kampung dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih Ab Razak Ibrahim telah diadakan tiga hari lepas untuk mengatasi masalah serangan harimau.
“Laporan segera perlu dibuat terus kepada Perhilitan sekiranya terdapat ternakan yang diserang binatang buas supaya jabatan boleh menyiasat jenis serangan berdasarkan tinggalan bangkai dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, Ab Razak berkata, masalah serangan harimau di kampung tersebut dipercayai pernah berlaku beberapa tahun lalu namun tidak dilaporkan secara rasmi kepada Perhilitan.
“Namun, sejak Disember lalu, serangan semakin menjadi-jadi dan banyak ternakan yang (dipercayai) dibaham harimau. Ada penduduk mendakwa ia adalah harimau kumbang dan ada yang mendakwa harimau belang.
“Saya berharap semua penduduk lebih berhati-hati dalam menjaga keselamatan mereka sehinggalah operasi menangkap haiwan tersebut berjaya,” katanya.
Serangan harimau terhadap haiwan ternakan sebelum ini sering berlaku di sekitar Felda Kerteh 3 dan Kerteh 4 di daerah Dungun bermula 2019 menyebabkan lebih 60 penternak kerugian ratusan ribu ringgit selepas haiwan ternakan mereka mati.
Pada Februari tahun lalu, seekor harimau belang jantan dikenali sebagai ‘Awang Rasau’ berjaya ditangkap Perhilitan di Felda Kerteh 3 diikuti seekor lagi harimau belang ‘Atan Kerteh’ yang masuk ke perangkap di Kerteh 4 pada Ogos tahun lalu, namun dipercayai masih ada kumpulan haiwan itu yang lepas bebas di sekitar hutan berhampiran.
Sumber: My Metro