Sesi Persekolahan Di 4 Negeri Lancar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Hari pertama sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 di empat negeri membabitkan lebih 1.18 juta murid berjalan lancar selain prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan baik.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, sesi persekolahan hari ini membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu dan Johor.

Katanya, hasil tinjauan di beberapa sekolah di sini mendapati kebanyakan pelajar teruja untuk ke sekolah selepas sekian lama tidak melalui proses pembelajaran bersemuka, terutama di Kelantan.

“Malah, terdapat juga pelajar yang tidak memakai pakaian seragam. Namun ia tidak menjadi masalah kerana kita membenarkannya.

“Kehadiran pelajar hari ini juga memberansangkan. Namun terdapat juga pelajar yang tidak hadir atas alasan tertentu termasuklah faktor kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail sempena pengoperasian hari pertama sekolah, di sini, hari ini.

Dr Radzi turut mengingatkan ibu bapa serta pihak sekolah supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19 berlaku di sekolah.

“Untuk isu ketidakhadiran ke sekolah, kita lebih terbuka namun ibu bapa diminta supaya memaklumkan kepada guru kerana kita hanya mahu tahu punca ketidakhadiran pelajar untuk direkodkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Radzi berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan pelaksanaan vaksin dalam kalangan murid sekolah lebih teratur.

Sumber: HARIAN METRO