Kota Bharu: “Saya baru lepas solat Asar bila isteri panggil, saya ingat ada kawan datang, rupanya dah setengah jam baru saya tahu cucu saya sudah tiada (meninggal dunia),” kata Che Mohd Noor Awang, 61.
Che Mohd Noor adalah datuk kepada kanak-kanak, Muhammad Huffaz Wafri Mohd Zulfika, 3, yang meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh ke dalam tali air Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Kampung Jambu Merah, Melor, petang semalam.
Pesara polis itu berkata, keluarga lewat memaklumkan kejadian yang menimpa cucu kesayangan yang dipanggil Huffaz itu kerana khuatir dia yang mempunyai masalah jantung.
Katanya, ahli keluarga tidak sedar Huffaz keluar dari rumah dan ke tali air yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah mereka.
“Orang kampung beritahu ada budak jatuh tali air, tahu-tahu bomba dah angkat mayat cucu yang ditemui terapung.
“Keluarga lewat maklum kepada saya sebab takut saya terkejut kerana baru beberapa hari lalu saya diserang sakit jantung,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Jambu Merah, dekat sini, malam tadi.
Che Mohd Noor berkata, kanak-kanak itu tinggal bersamanya sejak kecil kerana ibu bapanya bekerja di Sungai Buloh, Selangor.
Katanya, Huffaz seorang cucu yang cerdik, ceria dan sangat manja dengannya yang dipanggil tok abah.
“Huffaz sempat bersahur dengan kami, malah dia tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik dan kali terakhir saya bersamanya jam 3 petang sebelum saya masuk ke bilik untuk tidur dan berehat,” katanya yang turut berkerusi roda akibat kaki sebelah kanan dipotong kerana kencing manis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, polis menerima laporan berhubung kejadian lemas itu jam 4.33 petang melalui panggilan orang awam.
“Tiga anggota Balai Polis Melor ke lokasi kejadian dan pemeriksaan awal mendapati mayat ditemui terapung di dalam tali air dengan pakaian lengkap.
“Dengan bantuan pihak bomba, mangsa di bawa naik ke tebing dan diambil alih pihak Klinik Kesihatan Mahligai, namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata, tiada unsur jenayah dikesan di sepanjang pemeriksaan kawasan mayat ditemui dan tiada juga kesan mencurigakan ke atas mayat.
“Kali terakhir dia dilihat ahli keluarga jam 3 petang, sedang bermain di dalam rumah, tiada seorang pun isi rumah sedar mangsa keluar dari rumah hinggalah lebih kurang jam 4.45 petang, seorang jiran memberitahu mangsa sudah lemas di dalam tali air,” katanya.
Mayat kanak-kanak berkenaan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.
Sumber: My Metro