KUALA LUMPUR – Pemain beregu campuran China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong merekodkan gelaran keenam berturut-turut sejak Kejohanan Badminton Asia (BAC) musim ini dengan terbaru di Masters Malaysia 2022.
Beraksi di Axiata Arena Bukit Jalil, Si Wei-Ya Qiong yang diletakkan sebagai pilihan kedua, mengenepikan gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-17, 21-12 dalam tempoh 32 minit.
Selepas meraih gelaran di BAC, Si Wei-Ya Qiong meneruskan momentum menawan pentas final di Terbuka Thailand, Masters Indonesia, Terbuka Indonesia dan Terbuka Malaysia.
Sementara itu, dalam aksi final beregu lelaki, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto menumpaskan rakan senegara, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-12, 21-19 dalam tempoh 33 minit.
Kemenangan itu adalah gelaran kedua buat Fajar-Rian di Masters Malaysia yang sebelum ini diraih pada 2018 selepas menewaskan gandingan Malaysia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.
Kem beregu lelaki Indonesia nyata menguasai Masters Malaysia sejak dianjurkan pada 2009 dengan sehingga kini sudah enam beregu termasuk Fajar-Rian dan Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo masing-masing meraih dua gelaran.
Sumber: BERITA HARIAN