Siapa Taruhan Terbaik Badminton di Paris 2024?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PETALING JAYA: Lebih kurang 540 hari menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024, kebanyakan sukan utama Malaysia sedang giat mempersiapkan atlet terbaik untuk memburu slot ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Sejak 1992, badminton kerap menjadi sandaran utama negara, dan sudah menyumbang enam pingat perak dan tiga pingat gangsa menjadikan sukan ini antara penyumbang terbesar pingat buat kontinjen Malaysia sejak mula melibatkan diri dalam Sukan Olimpik pada 1956.

Bagaimanapun badminton yang dari awal lagi mencanang untuk menghadiahkan pingat emas pertama negara di temasya itu tahun hadapan belum mempunyai calon yang benar-benar ampuh dan konsisten di lapangan kejohanan antarabangsa.

Umum mengetahui, sandaran utama, Lee zii Jia sedang bergelut dengan pelbagai masalah dalam dan luar gelanggang sehingga menjejaskan prestasinya, dan ia secara tidak langsung membangkitkan beberapa persoalan adakah dia sudah bersedia untuk memikul beban harapan 32 juta rakyat Malaysia menamatkan penantian pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi Akademi Badminton Malaysia (ABM) pula tidak menoleh belakang dengan mempersiapkan satu lagi susuk dalam perseorangan lelaki iaitu Ng Tze Yong, namun masih awal untuk meletakkan harapan tersebut kepada pemain berusia 22 tahun itu.

Harapan terbaik negara mungkin kepada beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang telah membuktikan mereka mampu menjadi pasangan ampuh selepas dinobat sebagai juara dunia, namun masalah konsisten dan daya tahan mental pada waktu penting kerap menjadi igauan kepada Aaron dan Wooi Yik.

Kelegaan juga apabila gandingan profesional seperti Teo Ee Yi-Ong Yew Sin berupaya menghadirkan persaingan dalam memburu slot ke Olimpik apabila kerap menampilkan aksi konsisten di beberapa kejohanan antarabangsa.

Bagi beregu wanita, Pearly Tan-M.Thinaah, mereka berpotensi melakar sejarah meraih pingat pertama negara dalam acara itu berdasarkan kedudukan No. 5 dunia, namun untuk mendapatkan pingat emas, mereka perlu mencari jalan untuk mengatasi gandingan ampuh dari China dan Jepun yang kerap mendominasi acara ini.

Persaingan dijangka sengit dalam acara beregu campuran buat kesemua pemain negara dan juga profesional untuk layak ke temasya itu.

ABM sudah pun mengupah bekas juara dunia, Nova Widianto dan perubahan drastik dapat disaksikan apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sudah mula menjadi antara pemain yang menyinar dalam badan induk itu.

Begitupun, dua lagi pencabar iaitu Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing serta Shevon Lai-Goh Soon Huat yang turut berdepan masalah prestasi, masih boleh menarik nafas lega apabila berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Meskipun gambaran awal sukar untuk mencongak siapa taruhan terbaik dimiliki negara, namun Sukan Olimpik sentiasa diwarnai dengan elemen kejutan, dan tidak mustahil Malaysia mungkin membawa pulang warna kilauan yang sudah lama diinginkan sejak 67 tahun lalu.

Sumber: UTUSAN