500 buah rumah di kem Rohingya Bangladesh hangus dimakan api

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Lebih 2,000 pelarian Rohingya di sebuah kem di Bangladesh hilang tempat tinggal hari ini selepas api membakar lebih dari 500 kediaman pada awal pagi, kata seorang pegawai.

Tidak ada kematian tetapi sekurang-kurangnya 10 orang cedera ketika mereka melarikan diri dari kebakaran sekitar jam 2:00 pagi waktu tempatan di kem Nayapara, kata pesuruhjaya pelarian Bangladesh, Rezwan Hayat.

“Rumah-rumah itu dibuat dari timah dan buluh. Kami segera membekalkan makanan panas dan buluh serta terpal kepada mereka yang terjejas untuk membina semula rumah mereka,” katanya.

Beliau menambah, bahawa silinder gas memasak – digunakan secara meluas di kem – disyaki adalah penyebab kebakaran.

Nayapara di tenggara Bangladesh adalah rumah bagi puluhan ribu pelarian Rohingya yang berasal dari Myanmar, termasuk banyak yang telah tinggal di sana sejak tahun 1990-an.

Kem-kem yang tidak bermaya dan sesak di kawasan itu menempatkan hampir 900,000 orang Rohingya, yang kebanyakannya melarikan diri dari serangan yang kejam oleh tentera Myanmar pada 2017.

Pengarah Save the Children Bangladesh, Onno van Manen, berkata kebakaran itu “satu lagi pukulan dahsyat bagi orang-orang Rohingya yang telah mengalami penderitaan selama bertahun-tahun”.

“Ini adalah satu lagi peringatan mengerikan bahawa anak-anak yang terkandas di kem… menghadapi masa depan yang suram dengan sedikit kebebasan bergerak, akses pendidikan yang tidak mencukupi, kemiskinan, risiko perlindungan yang serius dan penyalahgunaan termasuk perkahwinan kanak-kanak.”