Siasat Segera Perbuatan Khurafat Elak Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Orang ramai perlu membuat laporan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) jika terdapat perbuatan khurafat dan berunsur sesat yang boleh menjejaskan kepercayaan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, Jakim boleh mengeluarkan arahan untuk siasatan meskipun bidang kuasa terletak di bawah jabatan agama Islam negeri.

“Jakim tidak ada kuasa untuk mendakwa (perbuatan khurafat). Itu kuasa negeri, tetapi kita boleh maklum pada jabatan agama Islam negeri untuk mereka ambil tindakan, siasat dan dakwa. Ikut pengalaman saya, jika ada kes-kes yang bercanggah dengan ajaran Islam, semua pihak berkuasa agama negeri memang akan bertindak segera,” katanya.

Idris berkata demikian bagi mengulas kemunculan individu dikenali sebagai Raja Bomoh dan Puteri Zaleha yang mengadakan ritual menolak banjir di Teluk Intan, Perak seperti yang tular di laman sosial, semalam.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan kertas siasatan akan dibuka oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berhubung satu video ritual menolak musibah banjir berkenaan.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin dipetik berkata, kertas siasatan mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 kerana mencela dan menghina agama Islam.

Video berdurasi 25.09 minit yang tular di media sosial itu memaparkan individu terbabit melakukan ritual dengan menggunakan bahan seperti beras, kunyit, bunga dan daun dengan tujuan menolak berlakunya banjir. Turut kelihatan di hadapan mereka ialah surah Yasin dan al-Quran.

Dalam rakaman itu, lelaki itu mendakwa upacara berkenaan adalah petua zaman dahulu dan meminta semua tempat surut air (tidak banjir) bukan saja di Teluk Intan, tetapi seluruh Malaysia, seluruh kepulauan Melayu dan seluruh dunia.

Sumber: HARIAN METRO