Kuantan: Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP) yang diperkenalkan bagi memudahkan pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri itu, tidak akan menyebabkan pertindihan rekod pendaftar di aplikasi MySejahtera.
Sebaliknya, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, SICP dan MySejahtera adalah sistem yang saling melengkapi antara satu sama lain dan sebagai memudahkan pendaftaran.
“Cuma SICP lebih kepada memberi kemudahan kepada rakyat Pahang untuk mendaftar bagi pengambilan vaksin itu.
“Sama ada daftar melalui SICP dan MySejahtera, tiada masalah dan tidak akan berlaku pertindihan. Setakat ini, sambutan yang diterima daripada rakyat negeri ini juga sangat baik (terhadap pendaftaran PICK,” katanya.
Beliau ditemui media selepas Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.
Wan Rosdy berkata, pihaknya menerusi Majlis Tindakan Sosial Pahang turut menggerakkan pegawai dan kakitangan untuk memudahkan pendaftaran di kawasan tumpuan awam.
Dalam pada itu, katanya, sejumlah 3,123 daripada 5,422 pegawai dan anggota polis Pahang sudah menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19.
“Kita menjangkakan suntikan vaksin semua pegawai dan anggota akan selesai dalam tempoh terdekat,” katanya.
Terdahulu, pada majlis itu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota Polis Pahang.
Sumber: My Metro