KUANTAN : Sektor pelancongan di negeri ini mengalami kerugian hampir RM7 bilion sejak dilanda pandemik COVID-19 pada Mac tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin berkata, seluruh dunia turut mengalami kerugian sebanyak RM45 bilion pada tempoh sama.
“Kalau nak sebut terkesan, semua orang terkesan termasuklah sektor pelancongan yang terus hilang mata pencarian. Situasi semasa pandemik COVID-19 pula masih belum menunjukkan sebarang tanda akan berakhir dan ia semakin menghimpit pemain industri pelancongan.
“Pihak Kerajaan Negeri Pahang sendiri telah menyalurkan lebih setengah juta ringgit untuk semua terkesan sepanjang penularan pandemik Covid-19, selain merancang perlaksanaan gelembung pelancongan yang akan memulihkan sektor ini secara berperingkat, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini.
Menyentuh berkenaan penjagaan alam sekitar, beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa komited dan serius terhadap penjagaan alam sekitar sehingga membawa kepada Rang Undang-Undang Biodiversiti.
“Bagi sektor perladangan pula kita dapati harga komoditi bertambah dengan lonjakan harga sawit. Bagi getah pula, untuk seseorang penoreh memperoleh pendapatan RM1,000 dia perlu mempunyai seluas lima ekar tanah tanaman getah.
“Bagi saya getah bukan satu tanaman yang sustainable di mana saya cadangan Kerajaan Negeri untuk melakukan usaha menanam high value crops atau tanaman bernilai tinggi sebagai pendapatan terbaik dalam sektor komoditi,” katanya.
Sementara itu, beliau mengulas mengenai tindakan Kerajaan Negeri menebang pokok durian Musang King yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Kekal Batu Talam.
“Kerajaan negeri komited jaga rizab hutan, kalau bukan sekarang bila lagi? Kita tau ianya (tindakan) tidak popular tapi mesti bermula.
“Kalau mereka nak tanam, janganlah tanam dulu tapi mohon dulu dengan kerajaan baru kita boleh buat pertimbangan,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA