Sidang Dewan Negeri : Hutan Simpan Memang Tidak Boleh Diteroka -YAB MB

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : “Hutan Simpan memang tidak boleh diteroka, walaupun secara haram. Tak kiralah 22 tahun, setahun, ke dua tahun ianya tetap haram,” itu tegas YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab isu yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Tras, YB. Encik Chow Yu Hui.

YAB Menteri Besar Pahang menegaskan, pemusnahan kebun durian Musang King di Raub bukanlah penganiayaan kepada para pekebun haram, sebaliknya mereka ini perlu berterima kasih kepada Kerajaan Pahang dalam hal ini.

“Yang dikatakan penganiayaan, sepatutnya pekebun-pekebun Musang King ini seharusnya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana secara tidak langsung membenarkan mereka menanam selama 22 tahun. Sepatutnya. Tanpa membayar cukai dan apa-apa. Kalau itu dikatakan penganiayaan, tak tepat sama sekali.

“Dan yang dibuat ini pun bukan untuk cari makan tetapi untuk berniaga. Kalau mereka tanam, dapat buah durian, jual durian, balik beli beras dan sebagainya, itu baru kita kata cari makan.

“Baru-baru ini kalau kita baca dalam media, ramai diantara mereka yang dikenakan cukai dan bukan setakat RM10, RM20 tapi berjuta-juta. Jadi tak nampaklah kalau dikatakan penganiayaan dan sebagainya,” katanya.

Sebelum itu, ADN Tras mendakwa pekebun terlibat mengalami kehilangan sumber pendapatan dengan sekelip mata dan pihak Kerajaan Pahang bersifat tidak berperikemanusiaan dalam isu ini ketika sesi perbahasan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.

Sehubungan itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berharap para pembangkang di negeri ini untuk bersetuju bahawa penerokaan tanah hutan simpan secara haram adalah melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Saya berharap rakan-rakan daripada pembangkang seharusnya bersetuju dengan kerana ini adalah penerokaan tanah secara haram, hutan simpan. Dan akan menimbulkan banyak masalah dimasa-masa yang akan datang.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Pahang sangat memandang serius perkara berkaitan penerokaan tanah haram ini dan ia tidak sepatutnya berlaku.

“Kerajaan yang ada pada hari ini kita dengar orang bercakap di mana-mana (berkenaan tanah haram). Di Kuala Lumpur (dengar orang kata), kalau nak tanam durian secara haram, pergi ke Pahang, kalau nak melombong secara haram, pergi ke Pahang, kalau nak curi pasir, pergi ke Pahang.

“Jadi ini sangat menjejaskan imej Kerajaan Pahang yang ada pada hari ini seolah-olah Kerajaan yang ada hari ini dipanggil condonation. Maknanya kita membiarkan perkara tersebut berlaku.

“Jadi ini yang kita buat. Kita tak ada niat sama sekali. Tak ada niat racist ke apa. Saya tak tahu, saya percaya rakan-rakan di dalam dewan ini semua bersetuju dengan Kerajaan Pahang, penerokaan tanah secara haram adalah memang salah,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut meminta isu berkenaan pekebun haram Musang King ini tidak dipanjangkan kerana sedang dalam perbicaraan mahkamah.

Sumber: PAHANGMEDIA