KUANTAN : Kerajaan Pahang telah mempunyai pelan jangka masa panjang berkenaan pembangunan dan guna tanah di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata pembangunan yang telah dirancang ini akan memberi manfaat kepada kelompok yang lebih besar.
“Kerajaan Negeri juga telah mempunyai pelan jangka masa panjang untuk kelompok masyarakat yang lebih ramai.
“Sekiranya tanah-tanah yang selama ini kita buatkan pelbagai institusi itu tadi, kita buat milik individu, berapa pula Kerajaan terpaksa belanja untuk pengambilan tanah, yang lebih besar tuntutan ganti rugi yang akan dikenakan untuk projek perundingan orang ramai yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.
“Saya fikir wajar dasar yang selama ini kita laksanakan, Kerajaan Negeri ada zon-zon yang tertentu yang telah diperuntukkan untuk pembangunan, ada zon pertanian, dan sebagainya,” katanya.
Beliau mengulas demikian ketika ADN Triang, YB. Cik Leong Yu Man yang meminta Kerajaan Pahang untuk memberi kelonggaran kepada pengusaha kebun haram untuk mendapatkan keutamaan dalam mendapatkan tanah ketika sesi perbahasan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.
Beliau turut meminta ADN Triang, untuk tidak memberikan kefahaman yang salah kepada orang ramai berkenaan perkara ini dan melahirkan kebimbangan sekiranya permintaan ini diberikan ia akan menggalakkan orang ramai meneroka tanah sesuka hati.
“Sekiranya itu dijadikan sebagai dasar saya bimbang ianya akan menggalakkan rakyat pergi meneroka tanah yang mana mereka suka, dan selepas satu jangka masa mereka akan merasakan mereka berhak ke atas tanah itu.
“Dan sekiranya 20 tahunlah jangka masa yang telah di gunakan untuk mengusahakan tanah, 20 tahun jugalah mereka yang mengusahakan tanah itu tidak ada ruginya kerana mereka tidak bayar apa-apa cukai, dan macam-macam peraturan yang lain.
“Saya percaya prinsip kita sudah cukup jelas melalui apa undang-undang, akta, enakmen yang ada itu, sudah cukup jelas dan pihak ADN Triang mengkaji semula untuk ditangani lebih baik daripada kita memberikan kefahaman yang salah, orang mencuri, perlu diberikan ganjaran. Saya fikir itu tidak betul,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA