Sidang Dewan Negeri: Kerajaan Pahang Bertegas Isu Penerokaan Tanah Haram

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan pendirian Kerajaan Negeri untuk mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang terhadap isu penerokaan tanah haram.
 
Katanya, Kerajaan Negeri tidak akan sesekali bertolak ansur terhadap peneroka tanah haram tanpa mengira sebarang alasan dan pemilikan tanah oleh mana-mana individu harus diselesaikan mengikut lunas undang-undang.
 
“Dalam hal ini, saya juga menyeru agar semua wakil-wakil rakyat, agar dapat memberi penerangan dan pencerahan kepada mereka yang terlibat dalam penerokaan tanah haram ini.
 
“Dari segi perundangan dan etika, ia juga merupakan tanggungjawab kita sebagai pemimpin, iaitu mengajak rakyat- rakyat di kawasan kita untuk hormat undang-undang.
 
“Saya berasa amat kecewa kerana saya lihat ada di antara kita yang seperti menyokong dan berada di pihak peneroka haram. Betul, kita harus menjadi suara kepada rakyat kerana kita semua berada di sini kerana mereka. Tapi bak kata orang-orang lama, kalau nak menurut biarlah berakal. Kalau nak mengikut biarlah pintar,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
 
Dalam perkembangan lain, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri telah menetapkan supaya projek-projek yang dimohon di bawah RMK-12 perlu mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak EPU, JPM seperti mana Pekeliling Garis Panduan Penyediaan RMK-12.
 
Katanya, Kerajaan Pahang komited memainkan peranan agar setiap projek yang akan dilaksanakan telah ditetapkan garis masa (timeline) pelaksanaannya mengikut brif, kos, dan tanah yang perlu diselesaikan di peringkat pelanggan.
 
“Sekiranya projek tersebut telah diserahkan kepada negeri untuk dilaksanakan, pihak Kerajaan Negeri akan memastikan semua perancangan mengikut garis masa (timeline) tersebut dan membuat susulan/ tindakan dengan rapi agar projek tersebut dapat ditender/ dilaksanakan mengikut tahun semasa,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA