KUANTAN : Kerajaan Pahang sangat prihatin terhadap kebajikan wanita dengan memperuntukkan sebanyak RM8,260,000 pada tahun 2022 bagi merancakkan ekonomi, membangunkan sosial dan menjaga kebajikan wanita.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, kerajaan telah mewujudkan Dasar dan Pelan tindakan Wanita Khusus untuk Negeri Pahang yang telah memperuntukkan sejumlah RM5 juta bagi tempoh 5 tahun.
“Dasar dan pelan tindakan ini amatlah penting kepada seluruh wanita negeri Pahang sebagai panduan bagi mencapai matlamat Pembangunan Mapan (SDG) dalam semua aspek hal ehwal berkaitan wanita seiring dengan kehendak global,” katanya.
Beliau berucap demikian pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Kerajaan juga turut memberi tumpuan kepada ekonomi Ibu Tunggal yang mensasarkan kepada 280 orang ibu tunggal dari seluruh Pahang dengan pemberian bantuan kewangan serta bimbingan dan latihan sehingga berjaya dan boleh berdikari.
“Dalam aspek kesihatan pula, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Program yang dikenali sebagai Cakna Suri iaitu Ujian Mamogram secara percuma yang diberikan kepada wanita B40 Pahang yang berumur 40 tahun ke atas dan telah menerima 1,600 peserta.
“Justeru, pengumuman bajet tambahan bagi program ini adalah satu tindakan yang tepat dan sangat baik oleh YAB MB dan ianya juga telah menjawab pertanyaan dari YB Triang. Program ini telah dan akan terus dipromosikan oleh Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Pahang, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) bersama NGO kerajaan negeri iaitu Pertubuhan Majlis Pembangunan Wanita Pahang ke setiap Parlimen dan DUN,” katanya.
Kerajaan negeri melalui Pelan Tindakan Wanita Pahang akan memperincikan keperluan wanita dan peluang yang perlu diberikan kepada golongan terbabit terutama di dalam bidang ekonomi dan pembuat dasar bagi memastikan mereka kekal relevan dan terus memberi sumbangan.
YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza berkata, pelbagai rancangan program dan aktiviti akan ditambah baik dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan setiap pihak dan sentiasa prihatin terhadap penularan wabak Covid-19 yang masih melanda.
Antara program-program yang direncanakan adalah Bulan Perpaduan Negeri Pahang, RT Cares 2.0, Ziarah Perpaduan 2.0 dan Program Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti KRT.
Keseluruhan program ini akan menerapkan konsep pengukuhan perpaduan dan kesedaran komuniti untuk saling berkerjasama pemantapan keharmonian di negeri ini dengan konsep rakan strategik akan menjadi kaedah pelaksanaan bagi mencapai sasaran yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Selain itu, golongan rentan turut diberi perhatian menerusi Program Literasi Sosial seperti yang telah dilaksanakan di Jalan Wong Ah Jang akan diteruskan dengan mengenal pasti golongan sama di daerah lain pula.
Sumber: PAHANGMEDIA