Sidang Dewan Negeri Pahang : Kerajaan Pahang Yakin Sasar RM1 Bilion Hasil Pada 2022

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Kerajaan Pahang sangat optimis dalam mencapai jumlah hasil RM1 bilion pada 2022 berdasarkan perbincangan barisan kepimpinan negeri dan pegawai tertinggi kerajaan sebelum menetapkan sasaran tersebut.
 
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan terbabit dibuat selepas kerajaan mengkaji dan berbincang secara terperinci dan berkeyakinan dapat mencapai sasaran itu dengan mengatasi pelbagai ketirisan dan kebocoran.
 
“Kita perlu berjiwa besar dan sasaran RM1 bilion adalah sasaran yang sangat baik sebab kita hendak mengelakkan ketirisan dan kebocoran dalam usaha mencapai sasaran tersebut,” katanya.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab Ahli Dewan Negeri (ADN) Teruntum, YB. Encik Sim Chon Siang pada sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
 
Pada sesi perbahasan tersebut, YB. Encik Sim Chon Siang mempertikaikan kemampuan Kerajaan Negeri dalam mencapai sasaran hasil berjumlah RM1 bilion pada tahun 2022 dengan membuat perbandingan sasaran hasil pada 2019 yang mana meningkat sebanyak 10 peratus.
 
Walau bagaimanapun, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menepis dakwaan terbabit dengan berkeyakinan dapat mencapai sasaran hasil tersebut untuk dikembalikan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan dan manfaat demi kesejahteraan negeri.
 
Beliau juga memohon sokongan daripada semua pihak terutamanya barisan kepimpinan negeri sama ada pihak kerajaan mahu pun pembangkang untuk sama-sama berusaha mencapai sasaran hasil tersebut.

Sumber: PAHANGMEDIA