Sidang Dewan Negeri Pahang: Telco Perlu Sedia Kualiti Perkhidmatan Setimpal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN, 7 DISEMBER 2021 : Setiap syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi atau Telco adalah tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan seperti Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) yang menetapkan piawaian kualiti perkhidmatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, berkenaan isu kualiti perkhidmatan, ia termasuk kelajuan akses jalur lebar, capaian liputan perkhidmatan, kualiti panggilan dan lain-lain lagi.

“Dalam menyediakan perkhidmatan yang setimpal dan berkualiti, setiap Telco perlu mematuhi MSQoS baharu yang telah dikuatkuasakan mulai 1 Ogos lalu merangkumi penetapan kualiti piawai minimum kepada tiga MSQoS sedia ada yang diperbaharui khususnya bagi peningkatan kualiti.

“Tiga MSQoS berkaitan kualiti rangkaian telekomunikasi adalah MSQoS Jalur Lebar Tanpa Wayar, MSQoS Jalur Lebar Talian Tetap dan MSQoS Perkhidmatan Selular Awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Beliau menambah, setiap Telco juga dikawalselia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta perlu mematuhi peruntukan perundangan dan peraturan yang berkaitan dengan syarat perlesenan, kualiti perkhidmatan, hal ehwal perlindungan pengguna dan lain-lain yang termaktub di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

“Selain penetapan MSQoS, kita jalankan kawalselia dengan buat audit dan semakan terhadap kualiti secara berkala di seluruh negara bagi memastikan pematuhan yang berterusan kepada MSQoS dipenuhi.

“Intervensi kepada aduan yang diterima akan dilakukan bagi memastikan pihak memberi perkhidmatan menyiasat dan membuat penambahbaikan yang sewajarnya,” katanya.

Menurutnya lagi, langkah-langkah penguatkuasaan seperti notis peringatan dan amaran serta kompaun turut diambil terhadap syarikat pemberi perkhidmatan yang tidak memenuhi piawaian dan gagal memberi perkhidmatan berkualiti kepada pengguna.

Sumber: PAHANGMEDIA