Sidang Dewan Negeri: Sumbangan Pasangan Baru Kahwin Dinaikkan Kepada RM250

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kerajaan Pahang bercadang untuk menaikkan sumbangan untuk pasangan yang baru berkahwin untuk kali pertama daripada RM200 kepada RM250 pada tahun hadapan.
 
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan data yang diperoleh sehingga September 2021, seramai 880 pasangan yang baru berkahwin telah didaftarkan.
 
“Justeru mengambil kira data ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan perbelanjaan sekitar RM220,000 pada tahun 2022 untuk tujuan tersebut,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
 
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebagai menghargai usaha keras dan komitmen semua Ahli Dewan Negeri, Kerajaan Pahang bercadang untuk memberi insentif kewangan (bonus) kepada semua Ahli Dewan Negeri.
 
“Alhamdulillah, selepas menilai prestasi kewangan negeri, Pahang berada dalam kedudukan kewangan yang stabil dan mempunyai peruntukan kewangan yang kukuh, jadi kerajaan bercadang untuk memberi insentif kewangan namun jumlahnya masih belum ditentukan dan ia tertakluk kepada persetujuan Ahli-Ahli Dewan,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA