Sidang Dewan Negeri : Tumpu Program Sawah Berskala Besar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Kerajaan negeri menyambut baik hasrat pihak Bernas membantu para pesawah meningkatkan hasil mereka melalui program Sawah Berskala Besar (SBB).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, bermula tahun depan seluas 1542 hektar di Skim Ganchong dan Merchong di bawah kawasan IADA Pekan melibatkan 650 orang pesawah manakala di kawasan IADA Rompin pula seluas 478 hektar dengan 347 orang pesawah di Paya Laka, Setajam dan Sepayang.

“Jabatan Pertanian Negeri Pahang juga terus beriltizam menumpukan sepenuh keupayaan dan sumber yang ada bagi meningkatkan (SSL) pengeluaran bahan makanan bagi tanaman cili, kobis, tomato yang belum tercapai serta meningkatkan lagi komoditi makanan dan bukan tanaman yang berpotensi untuk dieksport.

“Penyaluran insentif pengembangan teknologi dalam bentuk benih, bahan input serta kemudahan infrastruktur ladang untuk peningkatan produktiviti tanaman akan diteruskan untuk pengeluaran berskala besar sayur sayuran, buah buahan, kelapa, tanaman kontan, herba, rempah ratus serta beberapa komoditi yang berpotensi tinggi seperti tanaman fig, vanila dan Halia Bentong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi tahun 2022, kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan akan memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran pengusaha akuakultur untuk membuat dan menghasilkan produk-produk baharu hasil perikanan yang boleh disejukbeku khususnya daripada ikan Patin Pahang dengan kerjasama kepakaran inovasi daripada MARDI seperti tauhu ikan, tempura ikan, filet ikan, kebab ikan, sosej ikan, ikan salai, nuget dan burger ikan.

“Masalah lambakan ikan seperti yang berlaku semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas tidak lagi berbangkit dengan cara mempelbagai pembuatan produk ikan yang boleh disejukbeku untuk disimpan dan dipasarkan termasuklah secara dalam talian (online).

“Bagi tahun 2022 juga, pengukuhan perundangan berkaitan Perikanan akan dilakukan melibatkan dua perundangan baharu negeri iaitu berhubung Penyu dan Akuakultur serta pindaan Perikanan Darat (sungai). Kesemua Kaedah Perundangan tersebut bertujuan untuk mengurus, membangun dan memulihara sumber perikanan, serta memberi perlindungan kepada spesies terancam khususnya penyu, habitat dan alam sekitarnya dan secara tidak langsung dapat menjana hasil kepada Kerajaan Negeri melalui kutipan bayaran fi pelesenannya,” katanya.

Sementara itu, dianggarkan seramai 120,000 orang penternak, pemilik haiwan kesayangan dan usahawan hiliran dijangka akan menerima manfaat daripada peruntukan kerajaan negeri sama ada melalui program bantuan atau insentif, rawatan haiwan, program kawalan penyakit ternakan dan perkhidmatan berkaitan pembiakbakaan.

“Bagi meningkat pengeluaran makanan hasilan ternakan, jabatan telah merancang untuk memperkenalkan program insentif Makmur Ternak dan Galakan Infrastruktrur Industri Asas Ternak (IATn).

“Selain itu, Program Bantuan Peningkatan Jaminan Kualiti Produk Berasaskan Ternakan (U-QAP) akan diteruskan pelaksanaannya bagi membantu pengusaha loji penyembelihan unggas untuk menaiktaraf infrastruktur premis agar menepati keperluan keselamatan makanan yang ditetapkan dalan Kaedah-kaedah Pelesenan Loji Penyembelihan Unggas (Kawalan dan Pelesenan) (Pahang) 2017,” katanya. –

Sumber: PAHANGMEDIA