Sidang DUN Pahang mungkin ditangguh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 yang dijadualkan berlangsung di Wisma Sri Pahang, di sini, Ogos depan, mungkin ditangguhkan bergantung kepada situasi ketika wabak pandemik Covid-19 dan Ordinan Darurat.

Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad, berdasarkan tarikh yang ditetapkan tahun lalu, persidangan DUN Pahang itu dijadualkan selama lima hari.

“Ketika ini, pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 Jun ini dan tidak pasti situasi pandemik pada Ogos depan.

“Tarikh persidangan yang dipilih antara 16 hingga 20 Ogos depan sudah ditetapkan pada tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ishak berkata demikian ketika diminta mengulas surat bertarikh 25 Mei lalu yang dihantar kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang untuk mengemukakan usul mereka yang akan dibentangkan pada persidangan kepada urusetia sebelum 30 Jun ini.

Katanya, langkah menghantar surat itu adalah untuk memastikan urusetia bersedia sekiranya persidangan diadakan.

“Ini adalah prosedur biasa dan pihak urusetia hanya menjalankan tugas mereka mengikut jadual yang ditetapkan.

“Oleh itu, sekiranya persidangan dibenarkan, kita sudah mempunyai usul,” katanya.

Sumber: My Metro