Sijil Nikah, Cerai, Rujuk Mangsa Banjir Diganti Percuma

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TEMERLOH : Kerajaan Pahang melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan menggantikan sijil nikah,cerai dan rujuk secara percuma kepada mangsa banjir di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebanyak RM200,000 diperuntukkan untuk inisiatif ini dengan anggaran 10,000 keluarga Islam telah terlibat dengan bencana ini.

“Kita melaksanakan Program Penggantian Semula Sijil Nikah, Cerai, dan Rujuk yang musnah akibat banjir secara percuma yang dianggarkan melibatkan 10,000 keluarga Islam dan Kerajaan Pahang juga bersetuju untuk memperuntukkan lebih kurang RM200,000 bagi tujuan tersebut.

“Jadi kemusnahan dokumen ini, mereka yang musnah (dokumen) akibat banjir boleh berurusan dengan 14 buah Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) bagi proses pencarian dan penggantian semula secara percuma bermula 3 Januari 2022 sehingga 28 Februari 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Tambah beliau lagi, permohonan penggantian yang akan dijalankan selama dua bulan ini juga tidak memerlukan temu janji dilakukan terlebih dahulu.

“Kita tahu dokumen yang rosak itu sangat penting untuk dijadikan rekod serta pengesahan bagi melakukan sebarang urusan pada masa depan.

“Kebiasaannya caj bayaran yang dikenakan bagi carian dan salinan dokumen berkenaan ialah RM20 bagi setiap satu, dan sekarang kita beri secara percuma sahaja untuk ringankan beban keluarga yang terkesan banjir ini,” katanya.

Penggantian secara percuma ini dianggarkan melibatkan sejumlah 8,000 sijil nikah, 1,500 sijil cerai, dan 500 sijil rujuk di seluruh daerah yang terlibat dengan bencana banjir.

Sumber: PAHANGMEDIA