Sila pulang semula komponen, barangan kapal lama

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Rangka kapal yang ditemukan selepas banjir surut di Kampung Penjom, Kuala Lipis kira-kira 220 kilometer dari sini pada tiga hari lalu, dianggarkan dibina pada abad ke-18 dan ke-19.

Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN) Mesran Mohd Yusop berkata, kapal yang diperbuat daripada binaan kayu dan tembaga itu berkemungkinan besar ialah kapal dagang milik Inggeris atau digunakan oleh pembesar pada zaman terbabit.

Ia berdasarkan penemuan kepingan plat besi bertulis Vivian & Son pada 1824, iaitu syarikat yang ditubuhkan bagi menjalankan operasi peleburan tembaga pada 1809 sebelum berkembang menjadi rumah peleburan terkemuka pada 1820.

Syarikat itu dipercayai mengalami zaman kejatuhan pada akhir abad ke-19 dan merosot pada awal abad ke-20 dan pada 1924, ia bergabung menjadi British Copper Manufacturers Limited yang kemudiannya diambil alih oleh Yorkshire Imperial Metals pada 1926.

“Pemeriksaan pada bahagian dalam kapal tidak menemukan artifak melainkan serpihan seramik buat masa ini. Namun, pihak kami mendapati terdapat kesan kapal itu telah diganggu dipercayai oleh mereka yang mengambil komponen seperti paku atau dinding kapal disalut tembaga.

“Kita percaya barangan tersebut dijual kepada pembeli barangan lusuh kerana semalam, selepas dinasihatkan polis, sebuah syarikat barangan lusuh telah memulangkan komponen yang dianggarkan seberat 100 kilogram yang dijual kepada mereka,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sehubungan itu, Mesran memohon mereka yang menyimpan komponen atau barangan diambil dari kapal terbabit untuk segera memulangkannya kepada polis memandangkan ia adalah sebahagian daripada warisan negara.

Menurutnya, JWN juga akan memulakan kerja penyelamatan dan pemindahan rangka kapal itu bagi tujuan penyelidikan dan pencarian bukti sejarah, dan bagi tujuan itu, rangka kapal berkenaan akan dipindahkan ke Muzium Warisan Kuala Lipis.

“Bagaimanapun, sementara kapal itu masih berada di lokasi penemuan, kami akan meminta bantuan polis untuk terus memantau lokasi tersebut bagi mengelakkan berlaku lagi insiden pencerobohan atau kehilangan objek,” katanya.

Rangka kapal itu ditemukan terdampar di tepi Sungai Lipis, berdekatan jambatan gantung Sungai Kampung Pagar Penjom pada Khamis lalu dipercayai kesan akibat banjir yang melanda kampung berkenaan pada 3 Januari lalu.

Sumber: My Metro