Sindiket pindah minyak masak subsidi tumpas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pasir Gudang: Sebanyak 53,974 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi berjaya dirampas dalam satu operasi keatas sebuah kilang yang melakukan penyelewengan bahan tersebut, di sini, pagi tadi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, operasi jam 9 pagi itu dijalankan sepuluh penguatkuasa KPDNHEP, selepas siasatan awal dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.

Katanya bekalan minyak masak bersubsidi ini diperoleh dari beberapa kilang pembungkus minyak masak di sekitar Kuantan dan Lembah Klang yang dibawa ke Pasir Gudang, Johor.

“Sindiket ini disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki dengan cara memotong plastik polibag menggunakan mesin pengisar.

“Daripada jumlah minyak masak bersubsidi yang dirampas, sebanyak 24,819 kg dipindahkan ke dalam tangki. Manakala selebihnya iaitu sebanyak 29,155 pek polibag minyak masak masih dalam keadaan paket.

“Sitaan juga dibuat terhadap dua lori treler, dua jentera angkat susun (forklift), motosikal, serta peralatan seperti mesin pengisar, pam pemampat, tangki lori, hos getah dan lain-lain peralatan yang disyaki digunakan bagi menjalankan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi.

“Kesemua barangan tersebut dirampas untuk siasatan lanjut dan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM 359,135 ,”

katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Hairul Anuar, dalam serbuan ini juga, pihaknya menahan tiga lelaki tempatan berumur 30 hingga 40 tahun yang juga pemandu lori serta pekerja bagi membantu siasatan..

“Premis ini juga tidak memiliki apa-apa kebenaran bagi menyimpan atau berurusan dengan barang kawalan berjadual iaitu minyak masak.

“Terdapat beberapa jenama minyak masak yang disimpan secara tidak sah oleh premis tersebut. Siasatan juga akan dijalankan ke atas pihak yang membekal minyak bersubsidi kepada premis tersebut,” katanya.

Sumber: My Metro