Skuad Bimbingan Pan Gon Dilabel Cap Ayam?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Ketika ada segelintir penyokong tempatan yang gemar memperkecilkan kemampuan skuad Harimau Malaya sehingga melabel pemain ‘cap ayam’, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon berpandangan sebaliknya.

Ini kerana pengendali dari Korea Selatan itu mengakui dia agak terkejut dengan kualiti pemain yang dipanggil sekali gus membuatkan dia terus teruja untuk membantu skuad kebangsaan pergi lebih jauh pada masa akan datang.

“Kualiti pemain jauh lebih baik daripada yang saya jangkakan. Saya gembira dengan suasana ini apatah lagi saya mendapat sokongan penuh daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Pemain memberikan komitmen penuh. Jadi semuanya dalam keadaan yang baik. Satu-satunya perkara yang boleh saya lakukan adalah berikan yang lebih baik daripada apa yang sudah mereka berikan kepada saya.

“Saya akan cuba lakukan yang terbaik, saya tidak boleh berikan kemenangan dalam setiap perlawanan yang kita harungi tetapi sekurang-kurangnya saya berikan 100 peratus komitmen, fokus dan berjuang untuk anda.

“Itu yang boleh saya katakan dan saya begitu menghargai sokongan yang diberikan. Jadi saya akan terus lakukan kerja saya bersama skuad kebangsaan,” katanya pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini, semalam.

Sebagai rekod, skuad kebangsaan dalam rangka persiapan untuk mengharungi dua aksi persahabatan Tier 1 berdepan Brunei pada 27 Mei disusuli berdepan Hong Kong pada 1 Jun.

Dua aksi persahabatan itu bagi ‘memanaskan enjin’ skuad kebangsaan sebelum berdepan tiga perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Turkmenistan (8 Jun), Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dengan semua aksi berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dalam perkembangan sama, Pan Gon turut mengesahkan dua lagi pemain dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan iaitu R Ruventhiran dan Shahrul Nizam Ros Hasni bagi menggantikan Khair Jefri Jones dan Arif Fadzilah Abu Bakar yang mengalami kecederaan.

“Dua pemain ini adalah pemain muda yang berpotensi mengikut perancangan teknikal dan taktikal kita. Kita mahu melihat sama ada mereka sesuai ataupun tidak. Jadi kita memberi peluang kepada mereka bersama skuad kebangsaan.

“Sekarang kita ada 30 pemain dan kita akan menjadikan suasana yang sangat kompetitif untuk melihat reaksi mereka sebelum memutuskan senarai bagi aksi persahabatan,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN