Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Tempah Slot Ke Final

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PHNOM PENH: Skuad hoki wanita Malaysia akhirnya memastikan slot ke final menjadi milik mereka selepas menjinakkan Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan dengan keputusan 4-2.

Aksi yang berlangsung di gelanggang Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar menyaksikan Malaysia terlebih dahulu di hadapan pada minit keenam menerusi Iren Hussin.

Indonesia tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Desi Wardani menyempurnakan peluang menerusi pukulan sudut penalti.

Malaysia menambah dua lagi gol pada suku kedua, sekali lagi menerusi Iren dan juga Nur Attira Mohamad Ismail untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Indonesia enggan mengalah apabila Nuraini Sugiarti merapatkan jurang menjadi 3-2.

Iren mematikan sisa perjuangan Indonesia apabila menjaringkan gol ketiga peribadinya dalam perlawanan pada minit ke 27 sekaligus memberikan kemenangan 4-2 buat skuad negara.

Kemenangan ini menyaksikan Malaysia menjadi juara kumpulan setelah mengumpul 13 mata daripada lima perlawanan, dan akan menentang Thailand esok untuk aksi final.

Terdahulu, skuad lelaki negara yang sudah pun lebih awal mara ke pentas final diberikan tentangan sengit oleh Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan sebelum mencatatkan kemenangan tipis 3-2.

Gol pasukan Malaysia dijaringkan oleh Muhammad Firdaus Omar, Abdul Khaliq Hamirin dan Syed Syafiq Syed Cholan sementara gol Indonesia pula dicetak menerysi Candra Prawesti dan Muhammad Firdaus.

Mereka akan sekali lagi berentap dengan Indonesia esok untuk penentuan pingat emas.

Sumber: UTUSAN