Skuad Takraw Sasar ‘Libas’ Thailand Di Hangzhou

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kami nak menang pingat emas dengan menewaskan Thailand!

Itu tekad skuad sepak takraw lelaki kebangsaan menjelang Sukan Asia Hangzhou yang akan berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober ini.

Tekong negara, Muhammad Syahir Rosdi, berkata selepas Thailand mengesahkan penyertaan dalam acara antara regu dan regu berpasukan, ia melonjakkan lagi semangat barisan pemain untuk melakar kejayaan di bumi Hangzhou.

“Apabila kami dengar Thailand menyertai acara antara regu dan berpasukan, semua pemain teruja. Ia meningkatkan lagi semangat kami.

“Sebagai pemain, kami anggap ia perkara biasa kalau dapat menang dengan Indonesia atau negara lain malah saya percaya peminat turut merasakan perkara yang sama.

“Jadi, kami mahu buktikan kami mampu untuk menewaskan Thailand pada Sukan Asia kali ini,” kata Syahir yang meletakkan sasaran peribadi untuk membawa pulang dua emas dari Hangzhou dalam acara antara regu dan berpasukan.

Pada edisi 2018 di Palembang, Indonesia, skuad negara berjaya meraih emas antara regu yang turut dibarisi Syahir selepas menewaskan Indonesia dalam aksi final yang menyaksikan Thailand tidak menyertai acara berkenaan.

Namun, Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan Thailand apabila terpaksa berpuas hati dengan perak dalam acara regu berpasukan selepas tewas di tangan lawan itu dalam aksi final.

Edisi kali ini menyaksikan skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun diundi dalam Kumpulan A bagi acara antara regu bersama Singapura dan Myanmar manakala bagi acara regu berpasukan, Malaysia dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Korea Selatan.

Sebagai persiapan bagi menghadapi Sukan Asia, skuad negara akan berkampung di Ratchaburi, Thailand selama dua minggu sebelum menyertai Kejohanan Piala Pattaya.

Syahir, berkata tempoh kem latihan di Ratchaburi juga dianggap penting bagi meningkatkan semangat berpasukan antara pemain yang dilihat mampu menjadi kunci bagi menewaskan Thailand.

“Tiada apa yang mustahil untuk kami memenangi emas tahun ini, apa yang penting kami kena tingkatkan semangat berpasukan. Kalau tidak, memang kami tidak akan dapat.

“Berlatihlah macam mana sekalipun, kalau tiada semangat berpasukan dan tiada sifat kebersamaan antara kami, memang sukar untuk kami menang emas.

“Bagi saya kemahiran sudah tidak jauh beza dengan Thailand, sekarang kami perlu tingkatkan semangat berpasukan,” katanya.

– BERITA HARIAN