Skuad Wanita Indonesia Rangkul Kejuaraan Badminton BATC 2022

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Sumber Foto: Badminton Indonesia

SHAH ALAM – Indonesia mencipta satu lagi pencapaian membanggakan dalam arena badminton republik itu, apabila pasukan wanitanya ditabalkan juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 selepas menewaskan Korea Selatan 3-1, di sini hari ini.

Ini adalah kejuaraan pertama Indonesia sejak kejohanan itu bermula pada 2016, manakala Korea Selatan yang mengulangi pencapaian mereka pada edisi 2020, terpaksa berpuas hati dengan kedudukan naib johan.

Indonesia bermula cemerlang apabila Juara Remaja Dunia 2017 Gregoria Mariska Tunjung mempamerkan aksi bertaraf ‘A’ untuk menundukkan Sim Yujin 21-9, 21-10 hanya dalam 26 minit.

Bagaimanapun, Korea Selatan tidak berputus dan mengikat mata 1-1 menerusi beregu utama mereka Baek Ha Na-Seong Seung Yeong.

Beregu ke-14 dunia itu berjaya memenangi perlawanan dengan rubber set yang berlangsung selama satu jam lima minit, menentang Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi, 21-15, 14-21, 21-14.

Dalam perlawanan ketiga, Indonesia kembali mendahului selepas Putri Kusuma Wardani mengatasi Lee Se Yeon 21-10, 21-18.

Selepas pertembungan sengit dalam set pertama, Nita Violina Marwah-Lanny Tria Mayasari menundukkan Kim Min Ji-Park Min Jeong dalam set seterusnya, sekali gus menjamin piala BATC 2022 menjadi milik Indonesia.

Nita-Lanny mencatatkan mata kemenangan untuk Indonesia selepas menewaskan Min Ji-Min Jeong, 23-21, 21-11.

Sementara itu, Nita ketika ditemui pemberita selepas perlawanan di Pusat Konvensyen Setia City, berkata beliau berasa bangga dapat memberi kejuaraan sulung dalam kejohanan tersebut kepada Indonesia, dan mendedikasikan kemenangan itu buat ‘Bangsa Indonesia’.

“Kami sangat gembira dengan kemenangan ini, piala ini untuk ‘Bangsa Indonesia’ pastinya,” katanya.

Meskipun pasukan negaranya menurunkan skuad barisan kedua pada BATC kali ini, Nita gembira berpeluang menjadi sebahagian daripada pertandingan itu, memandangkan pengalaman berharga yang diraih meningkatkan keyakinanannya untuk beraksi pada peringkat lebih tinggi.

Jurulatih pasukan beregu Indonesia Prasetyo Restu Basuki gembira melihat kejayaan anak buahnya hari ini kerana ia mengatasi sasaran awal mereka untuk mara ke separuh akhir.

Sumber: AWANI