SMK Kuala Besut Terima Insentif Harumkan Nama Negara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JERTIH – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut yang mengharumkan nama negara di persada dunia apabila menjuarai Pertandingan Pameran Pendidikan Sains dan Teknologi Nuklear pada akhir bulan lalu, dianugerahkan insentif wang tunai RM3,500.

Pemberian insentif itu diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang dipengerusikan oleh Datuk Razali Idris, bagi meraikan kejayaan pada pertandingan anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) itu.

Pengerusi Ketengah Jaya Sdn Bhd, Mohd Husaimi Hussin, berkata pencapaian membanggakan itu membuktikan faktor kedudukan sekolah di kawasan pedalaman bukan penghalang untuk melakar kecemerlangan.

“Malah, ia membuktikan ketekunan dan kesabaran usaha sekolah serta pelajar walaupun berada di perkampungan nelayan.

“Dua pelajar, iaitu Mohamad Zafran Zaidi, 17, dan Ainul Mardhiah Mohd Azmi, 17, membuktikan anak Malaysia mampu menggegarkan pentas dunia apabila menjuarai pertandingan anjuran IAEA dihoskan di Vienna, Austria itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan insentif tunai itu melalui program KETENGAH Ambik Cakne di Dewan SMK Kuala Besut, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Abdul Muie Ngah, dan Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Abdullah Zawawi Yahya.

Mengulas lanjut, Mohd Husaimi berkata, kejayaan SMK Kuala Besut itu perlu dicontohi dan dijadikan pencetus semangat kepada semua sekolah, terutama yang berada di kawasan pedalaman.

Pada majlis itu, 10 pelajar yang menerima Anugerah Tahap Emas Kementerian Belia dan Sukan dalam kategori Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM), turut diraikan.

Sumber: BERITA HARIAN