CHUKAI – Pasukan mencari dan menyelamat mangsa terakhir tragedi kepala air Jeram Air Putih, Kemaman melakukan solat hajat di lokasi kejadian.
Solat hajat yang disertai 30 anggota penyelamat kumpulan satu di sektor A itu dilakukan selepas selesai solat Zohor.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (JBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah yang mengimamkan solat hajat terbabit berkata, inisiatif itu dilakukan termasuk melaungkan azan di kawasan pencarian.
Katanya, seramai 250 pasukan penyelamat bertungkus-lumus dengan memerah keringat untuk memastikan mangsa terakhir, Putri Nor Fatin Karim, 14, dijumpai.
“Selain pencarian di kawasan tebing sungai dan selaman, pasukan penyelamat juga turut menadah doa agar pencarian mangsa terakhir ini dipermudahkan.
“Kami mengadakan solat secara bergilir-gilir bila kami solat, sebahagian anggota lain melakukan pencarian dan selepas itu tiba pula giliran mereka untuk solat,” katanya.
Mohd Zailani berkata, pasukan penyelamat menganggap kesemua mangsa yang terbabit dalam tragedi itu seperti ahli keluarga sendiri.
“Semua mangsa yang hilang ini kita anggap seperti keluarga kita sendiri dan kami harap sangat adik (Putri Nor Fatin) ditemui segera,” katanya.
Setakat ini, usaha pencarian Putri Nor Fatin masih menemui jalan buntu.
Dalam kejadian Sabtu lalu, 10 sekeluarga termasuk seorang bakal menantu ahli keluarga itu terkorban dalam tragedi yang berlaku, kira-kira jam 5 petang.
Setakat ini sembilan mayat sudah ditemui termasuk terbaru mayat Muhammad Fikri Saliman,ditemui semalam.
Lapan mangsa yang ditemui lemas sebelum ini ialah Karim Abdullah, 39; Azizah Eiyi, 40; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah, 16; Muhammad Zulqarnain Haikal, 11; Putri Nurerina Natasya, 10; Muhammad Haziq Ziqree, 6, dan Putri Aryana Umaira, 4.
– BERITA HARIAN