Solat Jumaat diganti solat Zohor di Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Kuala Terengganu: Solat Jumaat tidak dibenarkan diadakan di semua masjid di negeri ini sepanjang tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) mulai Jumaat ini.

Bagaimanapun, masjid dibenarkan untuk melakukan solat Zohor bagi menggantikan solat Jumaat, tetapi dengan kehadiran 12 jemaah terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Datuk Osman Muda berkata, ahli kariah perlu mengantikan solat Jumaat dengan menunaikan solat Zohor di kediaman masing-masing.

Katanya, solat fardu secara berjemaah di masjid dan surau dibenarkan, tetapi dihadkan dengan bilangan 12 jemaah terdiri daripada ahli kariah bermastautin.

“Jemaah bukan warganegara tidak dibenarkan, manakala aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid serta surau turut tidak dibenarkan.

“Upacara akad nikah dibenarkan tetapi dilaksanakan hanya di pejabat agama dengan kehadiran seramai lapan orang sahaja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media, semalam memutuskan melaksanakan SPP Fasa Pertama di seluruh negara berkuat kuasa esok sehingga 14 Jun depan.

Osman berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut menzahirkan kebimbangan dengan situasi penularan pandemik Covid-19 dan menyeru semua pihak mengambil serius bagi membendung gejala berkenaan.

Menurutnya, Sultan Mizan juga menitahkan solat Jumaat di 69 mukim masing-masing di Besut, Kuala Berang dan Kuala Terengganu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan, sebaliknya diganti dengan solat fardu.

“Turut tidak dibenarkan diadakan di masjid dan surau adalah pengurusan dan solat jenazah.

“Masjid dan surau yang dikenakan arahan penutupan mengikut Seksyen 18 (1), (a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (1988), (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan aktiviti sepanjang tempoh penutupan,” katanya.

Katanya, Sultan Mizan meminta rakyat supaya terus tabah dan sentiasa menjaga kebersihan serta keselamatan diri mahupun keluarga.

“Baginda menitahkan rakyat terus berada di rumah dan keluar apabila mempunyai urusan,” katanya.

Sumber: My Metro