Solat sunat Aidiladha di Perlis dilaksanakan di tanah lapang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Arau: Solat sunat Aidiladha di seluruh Perlis akan dilaksanakan di tanah lapang perkarangan masjid bermula 8 pagi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kebenaran berkenaan diberikan setelah mendapat limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara dan negeri serta kebenaran aktiviti pengimarahan masjid di negeri itu semasa Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara.

“Pelaksanaan Solat Aidiladha dilaksanakan di tanah lapang berkenaan adalah di perkarangan masjid dan tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing di seluruh Negeri Perlis.

“Pelaksanaan ini selaras dengan Sunnah Baginda Rasulullah SAW selain dapat mengurangkan risiko jangkitan dibandingkan solat yang ditunaikan di tempat tertutup.

“Selain itu, bilangan jemaah yang dibenarkan adalah berdasarkan kepada kapasiti saiz kawasan lapang,” titahnya dalam satu kenyataan media.

Titahnya lagi, bagi memberikan ruang kepada penyertaan jemaah yang optimum maka dibenarkan untuk didirikan solat sunat Aidiladha sebanyak dua sesi iaitu pada sesi pertama pada 8 pagi dan sesi kedua pada 9 pagi.

“Sekiranya keadaan cuaca yang tidak bersesuaian seperti hujan, maka solat akan dilaksanakan di dalam masjid dengan kapasiti saiz masjid mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bermula 8.30 pagi.

“Jemaah yang tidak terpilih menyertai solat berkenaan perlu bersurai dan pulang untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di rumah masing-masing bersama ahli keluarga selaras dengan ketetapan dan risalah khutbah yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Mufti Negeri Perlis,” titahnya.

Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis bertitah, tempoh pelaksanaan solat sunat Aidiladha dan khutbah adalah diringkaskan bagi mengurangkan risiko penularan.

“Selaras dengan ketetapan syarak, sebahagian jemaah boleh terus pulang ke rumah selepas menunaikan solat sunat Aidiladha tanpa perlu mendengar khutbah.

“Pelaksanaan solat sunat Aidiladha di mana-mana surau atau dewan orang ramai tanpa kelulusan pihak berkuasa agama Islam kekal boleh tidak dilaksanakan bagi mengurangkan risiko serta demi penyelarasan oleh pihak berkaitan.

“Selain itu, SOP kehadiran dan penyertaan jemaah juga ditekankan dengan langkah pencegahan dan ikhtiar untuk mengelakkan penularan wabak, pematuhan kepada semua SOP adalah diperketatkan.

“Semua jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan seperti memakai pelitup separuh muka dengan digalakkan memakai dua pelitup muka serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka,” titahnya.

Selain itu, baginda turut menekankan supaya jemaah sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter pada setiap masa.

“Jemaah juga hendaklah membawa sejadah sendiri bersaiz standard, mengambil wuduk sebelum ke tempat solat, tidak melaksanakan sebarang kontak fizikal seperti bersalaman.

“Malah, yang paling penting adalah sentiasa melakukan imbasan suhu badan dan melaksanakan rekod penjejakan sosial dengan mengimbas Kod QR Aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan.

“Selain itu, warganegara dan bukan warganegara termasuk lelaki dan perempuan adalah dibenarkan untuk menyertai semua aktiviti pengimarahan Aidiladha kecuali mereka yang berstatus PUI (Person Under Investigation), PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti,” titahnya.

Baginda bertitah, individu yang terbabit dengan aktiviti rentas sempadan atau negeri sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran termasuk yang berulang alik bekerja pada setiap hari adalah tidak dibenarkan hadir.

“Demikian juga ahli keluarga mereka yang tinggal bersama tidak dibenarkan hadir melainkan ahli keluarga yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Sumber: My Metro