Kuantan: Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) membenarkan solat sunat Aidilfitri dilakukan di masjid dan surau di negeri ini, dengan kapasiti jemaah seramai 50 orang serta 20 orang sahaja.
Pengarahnya Datuk Dr Zulkifli Ali berkata, kehadiran jemaah juga ditentukan secara jemputan oleh pengurusan masjid dan surau.
Menurutnya, pintu pagar masjid dan surau perlu ditutup selepas solat sunat Aidilfitri tamat pada 9.30 pagi.
Katanya, pengurusan masjid dan surau bertanggungjawab memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi.
“Pemantauan secara mengejut akan dibuat pada bila-bila masa oleh pasukan pemantau pematuhan SOP.
“Pihak masjid dan surau hendaklah mematuhi pekeliling, arahan sedia ada dan arahan dari semasa ke semasa yang dikeluarkan oleh Jaip dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).
“Kegagalan mematuhi SOP, mengawal jemaah, jumlah jemaah melebihi kapasiti dibenarkan dan aktiviti yang dilakukan di luar waktu boleh menyebabkan kebenaran dibatalkan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, takbir hari raya dari rumah ke rumah, ziarah dari rumah ke rumah dan ziarah tanah perkuburan ketika sambutan Aidilfitri tidak dibenarkan.
Katanya, imam dan khatib dari luar Pahang dan jemaah berusia 12 tahun ke bawah dan warga emas berusia 75 tahun ke atas juga tidak dibenarkan.
“Umat Islam diharap dapat mematuhi SOP dan mengambil tanggungjawab dalam membantu usaha untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 yang kembali menular di Pahang,” katanya.
Sumber: My Metro