Solat Sunat Witir: Amalan Sunat Sebelum Tidur Yang Sangat Dianjurkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar: Pexel

Solat sunat witir merupakan satu amalan yang sangat digalakkan untuk dilaksanakan setiap hari. Lazimnya ramai yang menganggap solat sunat witir hanya perlu dilakukan dalam bulan Ramadan selepas solat sunat tarawih, namun ianya sebenar solat yang sangat dianjurkan setiap malam sebelum kita melelapkan mata.

Dari Abu Hurairah R.A beliau berkata:  Kekasihku (Rasulullah SAW) berwasiat kepadaku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan melakukan solat witir sebelum tidur.

Apakah makna witir? Witir bermaksud ganjil. Ini juga memberi makna bahawa setiap rakaat yang dilakukan perlu dilakukan dalam jumlah yang ganjil. Berdasarkan pandangan jumhur Ulama, Allah menyukai orang yang melakukan solat sunat witir kerana Allah juga witir (tunggal). Bagi orang yang mengharapkan keredhaAnnya, solat ini akan menjadi kelaziman sebagai amalan tambahan bagi melengkapkan lagi amal-amal kebaikan yang sudah dilakukan.

Dalam satu hadis lain yang berbunyi,Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah itu witir (ganjil), dan Dia menyukai witir, maka lazimkanlah solat witir, wahai ahli al-Quran.” (HR Abu Daud & Tirmizi)

Hukum Solat Sunat Witir

Jumhur ulama menegaskan bahawa solat witir hukumnya adalah sunnah mu’akkadah, iaitu sunat yang sangat dituntut. Antara dalil yang disandarkan ialah hadith daripada Tolhah bin ‘Ubaidillah R.A:

Seorang lelaki daripada Najd yang rambutnya kusut-masai datang kepada Rasulullah SAW, kami mendengar suaranya yang kuat tapi tidak memahami apa yang diucapkannya, sehinggalah dia menghampiri kami barulah kami tahu dia bertanya mengenai Islam. Rasulullah SAW menjawab: “Hendaklah kamu solat lima waktu sehari semalam”. Lelaki tersebut bertanya: “Adakah aku perlu lagi solat yang lain?”. Rasulullah SAW menjawab: “Tidak, melainkan jika kamu mahu, kamu boleh mendirikan solat-solat sunat”. [Sahih al-Bukhari (46) dan Sahih Muslim (11)]

Berapakah rakaat yang perlu dilakukan bagi solat sunat witir?

Terdapat beberapa cara bagi melakukan solat antaranya ialah melakukan satu rakaat sahaja, 3 rakaat dan lebih asalkan dalam bilangan ganjil.

Menurut laman web Mufti Wilayah, sekurang-kurang solat witir adalah sebanyak satu rakaat, tetapi makruh melakukannya satu rakaat sahaja. Sekurang-kurang sempurna solat witir ialah tiga rakaat, iaitu melakukannya secara dua rakaat bersambung dan satu rakaat lagi berasingan. Sementara yang paling sempurna adalah melakukannya sebanyak sebelas rakaat dengan mengucap salam selepas setiap dua rakaat dan diakhiri dengan satu rakaat.

Rujukan:

  1. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3734-al-kafi-1393-tatacara-solat-witir-yang-afdhal
  2. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4050-irsyad-al-fatwa-siri-ke-379-mengapa-mazhab-hanafi-mewajibkan-solat-witir