Bilal bin Rabah, antara nama yang dijamin syurga. Hebatnya beliau sehingga Baginda SAW mengkhabarkan perkara tersebut kepada beliau dan ada yang bertanya apa amalan yang sering diamalkan sehingga namanya termasuk dalam senarai penghuni syurga.
Pernahkah anda berfikir apa amalan hebat yang beliau amalkan? Ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Baginda SAW bersabda:
Maksud: “Wahai Bilal, ceritakan kepadaku tentang amalan yang paling terbaik yang kamu lakukan di dalam Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi tapak kakimu di hadapanku di dalam syurga.”
Kemudian, Bilal menjawab: “Tidaklah aku melakukan amalan yang paling baik di sisiku, aku ini tidak berwuduk pada waktu malam atau siang melainkan aku akan mendirikan solat dengan wuduk tersebut dengan kadar yang ditetapkan untuk aku solat.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1149)
Syeikh Badruddin al-‘Aini berkata – “Sesungguhnya, masuknya Bilal ke dalam syurga serta memperoleh kelebihan ini adalah disebabkan perbuatan beliau yang berwuduk setiap kali hadas dan solat beliau setiap kali berwuduk sebanyak dua rakaat.” (Umdah al-Qari, Al-‘Aini, (7/08)
Apa Itu Solat Sunat Wuduk
Solat sunat wuduk adalah solat sunat dua rakaat yang dilakukan selepas mengambil wuduk. Ia boleh dilakukan dengan diniatkan melakukan solat sunat dua rakaat dan cara solatnya adalah sama dengan solat sunat yang lain.
Hukumnya adalah sunat dan afdal untuk dilakukan selepas berwuduk. Keutamaannya adalah untuk memberi persediaan untuknya melakukan solat fardu. Ada juga hadis yang disebutkan bahawa ia adalah sebagai salah satu cara pengampunan dosa.
Maksud: “Tidak ada seorang pun yang berwuduk kemudian dia memperelokkan wuduknya lalu mendirikan solat dua rakaat yang dia memfokuskan jantung hati serta wajahnya dalam mengerjakannya melainkan wajib buat dirinya itu syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 906)
Sumber: TZKRH.COM