‘SOP pelitup muka berlandaskan sains, data’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA: Pemakaian pelitup muka ketika berada di tempat khalayak ramai masih menjadi ‘perisai’ ampuh dalam menangani penularan COVID-19 walaupun ada beberapa negara di Eropah tidak lagi berbuat demikian, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan mencontohi negara berkenaan kerana SOP berkaitan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal adalah berlandaskan sains dan data.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan Eropah adalah ‘epicentre’ kepada COVID-19. Negara seperti Jerman, Austria sedang mengalami gelombang yang sangat besar disebabkan masih ada yang tidak divaksinasi, tetapi ramai yang sudah ketepikan langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka.

“Tengok di Eropah mereka dah tak pakai lagi. Ini langkah yang kita tidak akan ikutlah. Kita dapati pelitup muka ini satu perisai yang sangat penting dan berkesan sama dengan vaksinasi,” katanya dalam temubual khas bersama BH dan NST, semalam.

Orang ramai mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka ketika tinjauan di Pasar Tani Ampangan baru-baru ini. - Foto fail BERNAMA
Orang ramai mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka ketika tinjauan di Pasar Tani Ampangan baru-baru ini. – Foto fail BERNAMA

Khairy berkata, antara kesan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ialah rakyat sudah mula beranggapan tidak perlu berasa risau dengan penularan wabak itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia adalah pandangan yang tidak tepat kerana walaupun jumlah jangkitan COVID-19 negara masih pada paras yang sama dalam tempoh seminggu dua kebelakangan ini dan tidak meningkat mendadak, kadar kemasukan ke hospital sudah mula meningkat.

Mengakui KKM dan agensi penguat kuasa tak cukup (kakitangan) untuk menguatkuasakan pematuhan SOP di setiap tempat, KKM sudah cadangkan kepada Kabinet untuk mewujudkan pemerkasaan masyarakat.

“Kita mungkin lantik beberapa pemimpin komuniti yang akan mengingatkan sesama mereka untuk mematuhi SOP seperti di kawasan pasar,” katanya.

Austria menjadi negara Kesatuan Eropah (EU) pertama yang mengenakan perintah larangan pergerakan penuh pada musim luruh kali ini iaitu selama 20 hari bermula semalam.

Perintah itu antara lain hanya membolehkan penduduknya, tanpa mengira sama ada mereka sudah divaksinasi atau sebaliknya, keluar dari rumah untuk urusan penting saja dan perintah itu akan dilihat semula selepas 10 hari pertama seperti peruntukan undang-undang negara itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata tiada kes kematian dapat dikaitkan secara langsung dengan vaksin COVID-19 yang diberikan sepanjang tempoh pelaksanaan PICK bermula 24 Februari hingga 20 November lalu.

Ia hasil penilaian kasualti melalui bedah siasat, walaupun terdapat 535 laporan membabitkan kes kematian dalam kalangan penerima vaksin dalam tempoh itu.

“Semua kes yang dikategorikan sebagai serius termasuk kes kematian akan disiasat dengan menyeluruh dan terperinci oleh fasiliti kesihatan.

“Laporan penyiasatan ini kemudian diserahkan kepada Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin COVID-19 (JFK) untuk penilaian kasualti atau hubung kait antara kesan sampingan dan vaksin,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Aaron berkata sepanjang tempoh itu, sistem pelaporan Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menerima 23,163 laporan kes advers susulan imunisasi vaksin iaitu 0.45 laporan bagi 1,000 dos yang diberikan.

Daripada jumlah itu, 93.3 peratus daripada laporan kes membabitkan kesan sampingan ringan dan sederhana seperti sakit di tempat suntikan, demam, pening dan keletihan.

Sumber: Berita Harian