Southgate Mula Langkah Cari Kejuaraan Euro 2024

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MANCHESTER, United Kingdom – Usaha England untuk menang kejuaraan utama sejak 1966 kembali bermula awal pagi Jumaat ini ketika skuad Three Lions memulakan kempen kelayakan Euro 2024 berdepan juara bertahan, Itali.

Selepas mengambil masa bagi memikirkan masa depannya selepas tersingkir pada suku akhir Piala Dunia di tangan Perancis pada Disember, Gareth Southgate akan kekal selaku bos England dan mencuba buat kali keempat mencari kegemilangan.

Southgate sudah melihat transformasi yang mengubah nasib negaranya di pentas antarabangsa.

Namun selepas mara ke suku akhir, separuh akhir dan final dalam tiga kejohanan utama terakhir, selain menamatkan kemarau 58 tahun di Jerman tahun depan akan dilihat sebagai kekecewaan.

Southgate mungkin sudah mengeluarkan amaran minggu ini mengenai kurangnya pemain England yang beraksi secara kerap dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) namun dia mengakui ia membimbangkan untuk tempoh yang lama dengan bakat yang ada pada pemainnya.

Pemain sayap Arsenal, Bukayo Saka dan pemain tengah Borussia Dortmund, Jude Bellingham membuktikan mereka adalah dua bakat muda dalam bola sepak di Qatar.

Gol Harry Kane buat negaranya akan menjadikan dia pemegang rekod England manakala potensi Marcus Rashford akhirnya disedari di bawah kendalian Erik ten Hag di Manchester United.

Kecederaan terhadap Rashford bermakna dia akan terlepas aksi pembukaan menentang Itali dan Ukraine minggu ini namun Southgate tidak kekurangan pemain gantian menerusi pasangan Manchester City, Phil Foden dan Jack Grealish yang dijangka akan bertarung bagi mendapatkan tempat.

Dalam semua kejayaan dibuat di bawah Southgate, kemenangan mengatasi Jerman pada kelompok 16 terakhir Euro 2020 kekal satu-satunya kemenangan peringkat kalah mati berdepan negara utama dalam bola sepak antarabangsa.

“Ini adalah perlawanan yang kami perlu tunjukkan kami boleh menang,” kata Southgate mengenai pertembungan dengan Itali dalam suasana di Estadio Diego Armanda Maradona dekat Naples.

“Itulah tahap seterusnya bagi kami sebagai sebuah pasukan.”

– BERITA HARIAN