PASIR PUTEH: Peniaga air balang di Jalan Bypass Pasir Puteh, di sini ‘mati kutu’ apabila usaha melariskan perniagaan dengan memakai kostum Spiderman sudah tidak mampu menarik perhatian pelanggan.
Irfan Zimie, 19, memberitahu perniagaannya merosot teruk sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP), sekali gus membuatkan dia hampir berputus asa.
Katanya, keadaan itu berbeza berbanding sebelum musim pandemik Covid-19 apabila orang ramai, khususnya yang mempunyai anak kecil ‘wajib’ berhenti singgah membeli air kelapa muda atau pelbagai minuman lain di situ.
“Saya jual air dengan memakai kostum Spiderman sejak empat tahun lalu bersama rakan kongsi. Ketika itu, air balang kami laris sampai tidak menang tangan dengan kebanyakan pelanggan mahu bergambar bersama.
“Sekarang sudah tidak laku. Seksa kepanasan memakai kostum Spiderman di bawah panas terik matahari tidak berbaloi langsung.
“Sebelum ini kami mampu memperoleh RM300 hingga RM400 sehari. Kini, mahu dapat RM50 hingga RM100 sehari pun susah, namun kami tetap bersyukur daripada tidak mendapat apa-apa,” katanya
Menurut Irfan, sebelum ini dia terputus punca rezeki hampir dua bulan selepas tidak dibenarkan menjalankan perniagaan di tepi jalan berdasarkan arahan semasa dikeluarkan kerajaan negeri.
“Saya kuatkan semangat dulu dan cuba bertahan setakat mampu kerana dalam keadaan pandemik sekarang ini, memang susah nak cari kerja lain,”katanya.
Sumber: Utusan Malaysia