SPRM Tahan Pengurus Sebuah Jabatan Kerajaan Persekutuan di Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus jabatan Kerajaan Persekutuan di Terengganu yang disyaki menyalahgunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan untuk dirinya sendiri melalui perolehan kerja pembaikan kenderaan jabatan sekitar tahun 2019 hingga 2022.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Negeri Terengganu semasa hadir memberi keterangan hari ini.

Menurutnya suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi tujuan permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

– BERNAMA