KUANTAN – Sri Pahang FC yang menamatkan saingan di tempat ketujuh Liga Super musim ini, bakal tampil dengan barisan pemain berpengalaman dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Bukan sahaja diperkuatkan beberapa pemain import baharu, malah disertai pemain berpengalaman dalam memperkasakan skuad Tok Gajah itu.
Menurut sumber Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), setakat ini, kelab itu sedang berunding dengan beberapa pemain berpengalaman termasuk pernah menyarung jersi skuad Harimau Malaya.
“Ada pemain yang akan dipinjamkan dari kelab tempatan selain kita cuba mendapatkan pemain yang lebih berwibawa terutama di bahagian pertahanan. Namun, setakat ini, Sri Pahang tidak boleh mengumumkan nama pemain berkenaan kerana ia masih di peringkat rundingan.
“Tapi, dengan komitmen tinggi dan perubahan besar yang akan dilakukan Sri Pahang musim 2023, ia diharap bermula dengan cemerlang.
“Sri Pahang mahu keputusan lebih baik diperoleh musim depan apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan ketujuh Liga Super dan terkandas di pusingan awal Piala Malaysia musim ini,” katanya.
Musim ini, Sri Pahang tampil dengan ketua jurulatih import, Christophe Gamel sebelum diambil alih Datuk Dollah Salleh pada pertengahan musim.
Sri Pahang pula menyenaraikan lima pemain import pada awal musim sebelum menggantikan tiga pemain baharu menyertai skuad itu pada jendela perpindahan kedua. Mereka adalah Steven Rodriguez, dari Colombia, Kevin Ingreso (Filipina) dan Sherzod Fayziev (Uzbekistan).
Mereka menggantikan Mahmoud Za’tara dari Jordan, Billy Ketkeophompone (Laos) dan Johan Martial (Perancis) manakala dua pemain import lain ialah penjaga gol dari Mali, Mamadou Samassa dan Manuel Hidalgo dari Argentina.
Biarpun ada peningkatan yang dipersembahkan tetapi ia belum cukup untuk meletakkan Sri Pahang pada kedudukan terbaik.
Sumber : BERITA HARIAN