KUANTAN: Sri Pahang FC bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri 2-2 berdepan Terengganu FC(TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.
Ketinggalan dua gol tidak melemahkan anak buah Fandi Ahmad untuk menjaringkan gol penyamaan sekali gus mengutip sekurang-kurangnya satu malan di halaman sendiri.
Namun, pada perlawanan itu, Terengganu yang menyenaraikan barisan kedua lebih mempamerkan persembahan meyakinkan apabila lebih banyak melancarkan serangan ke kubu tuan rumah.
Peluang terbaik skuad Penyu itu hadir menerusi rembatan Liridon Krasniqi tetapi penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan berjaya menafikan percubaan pemain tengah itu pada minit ke-16.
Namun, pada minit ke-25, kerja keras Terengganu berhasil apabila berjaya menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan pemain tengah, David Nazari.
Tersentak jaringan itu, tuan rumah mula menggandakan asakan ke kubu lawan untuk mendapatkan gol menyamakan.
Pemain import tuan rumah, Kevin Ingreso mempunyai peluang tetapi sepakan lemah mudah ditangkap penjaga gol TFC, Muhammad Radadiazli Rahalim.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Fandi Ahmad berusaha untuk mencari gol penyamaan dan peluang terbaik hadir daripada sentuhan Ingreso yang dinafikan sekali lagi oleh Muhammad Radadiazli.
Sebaliknya pada minit ke-71, Nazari menjaringkan gol kedua buat diri dan pasukan untuk meletakkan kedudukan selesa 2-0.
Minit ke-78, Rafael Silva menjaringkan gol pertama tuan rumah dan disusuli gol penyamaan daripada kapten pasukan, Sergio Aguero dua minit selepas itu.
Keputusan seri itu sudah pasti melegakan tuan rumah yang tidak terlepas mata pada lima baki perlawanan.
– BERITA HARIAN