KUANTAN: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mengumumkan 10 pemain musim ini tidak lagi menyarung jersi skuad Tok Gajah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Mereka adalah empat pemain import, Kevin Ingreso dari Filipina, Michael Glassock (Australia), Lucas Silva (Brazil) dan Sherzod Fayziev (Uzbekistan).
Enam pemain tempatan yang tidak lagi bersama Sri Pahang ialah Nicholas Swirad, Muslim Ahmad, Abdul Malik Mat Arif, Zuhair Aizat Mohd Nazri, Wan Syazmin dan Shahrul Nizam Mohf Nadzir.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sri Pahang FC, kelab itu merakamkan ucapan terima kasih kepada 10 pemain yang tidak lagi akan bersama kelab bagi mengharungi Liga M 2024.
“Komitmen, dedikasi dan keringat yang dicurahkan Ingreso, Glassock, Lucas, Fayziev, Swirad, Muslim, Abdul Malik, Zuhair Aizat, Wan Syazmin dan Shahrul Nizam sepanjang menyarung jersi Tok Gajah serta impak positif yang dibawa kepada kelab akan sentiasa dihargai dan dikenang.
“Terima kasih, semoga terus berjaya bersama pasukan baru,” kata hantaran itu.
Dengan pengumuman itu, empat import yang turut beraksi musim ini iaitu Kpah Sherman dari Liberia, Kuvondik Ruziev (Uzbekistan), Stefano Brundo (Argentina) dan Rafael Silva (Brazil) kekal bersama Sri Pahang.
– BERITA HARIAN