Status Hadis Wanita Yang Membuka Aurat Akan Dihukum Sehingga Mendidih Otaknya?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Dalam surah An-Nisa, ada disebutkan secara terperinci mengenai aurat wanita yang perlu ditutup. Hanya tapak tangan dan muka sahaja yang boleh dilihatkan yang telah diterangkan pula melalui hadis sahih daripada Rasulullah SAW.

Apabila turunnya surah An-Nur ayat 31, Allah telah memerintahkan kepada kaum wanita untuk melabuhkan tudung mereka untuk menutup aurat mereka. Ia adalah untuk menjaga kehormatan dan menutup perhiasan mereka agar sentiasa dijaga kemuliaannya. Sebagaimana dalam firman Allah, iaitu yang bermaksud:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” (Surah An-Nur, 24:31)

Berkenaan dengan perihal wanita yang sengaja mendedahkan aurat atau tidak menutup kepalanya dengan baik, diceritakan bahawa hukuman serta azab buat mereka amat berat. Sebagaimana dalam sebuah periwayatan, ada menyebut:

Maksud: “Ada sebuah hadis yang menceritakan mengenai Fatimah dan Ali yang telah melihat Rasulullah menangis kerana terkenangkan peristiwa isra mikraj kerana di dalam neraka terdapat golongan wanita yang diseksa antaranya rambut mendidih sehingga terkeluar otak kerana tidak menutup aurat, perempuan yang tergantung kedua kakinya kerana tidak taat kepada suaminya, iaitu keluar rumah tanpa izin suaminya dan perempuan yang tidak mahu mandi hadas ketika ia suci dari haid dan nifas.”

Ada Ulama menilai hadis ini sebagai hadis yang palsu kerana ia diriwayatkan tanpa sanad. Riwayat ini ada disebut oleh Al-Zahabi dan ibnu Hajar Al-Haitami dalam kitabnya al-Kabair.

Pendapat lain lagi menyebut bahawa sanad bagi hadis ini adalah dari kalangan perawi yang tidak diketahui kedudukannya, iaitu Ali bin Abdullah al-Warraq dan Abdul ‘Azim al-Hasani. Manakala, ada seorang lagi perawi yang lemah kedudukannya, iaitu Abu Said Sahal bin Ziyad al-Azmi.

Justeru, ulama bersepakat bahawa status hadis ini adalah palsu. Memang wujud hukuman buat wanita yang tidak menutup auratnya dengan baik atau sengaja mendedahkannya, namun dalam hadis yang disebutkan di atas, ia adalah tidak sahih.

Sumber: Dr. Ustaz Rozaimi Ramle (TZKRH.COM)